HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2007

Eksklusif: Gasak Utusan, gasak NSTP
Oleh Wartawan KLpos.com

KUALA LUMPUR: Kumpulan akhbar Utusan Melayu dan NSTP Berhad akan mengadapi cabaran baru berikutan kehadiran gabungan Gerakan Anti Salah Maklumat (GASAK) yang akan mengetuai kempen ke akar umbi untuk membiokot kedua-dua akhbar terbabit.

GASAK yang melibatkan beberapa NGO diketuai oleh kumpulan pemikir Anwar Ibrahim, Institut Kajian Dasar (IKD) pagi tadi mengadakan sidang media menjelaskan mengenai kempen boikot tersebut.

Menurut Pengarah Eksekutif IKD Khalid Jaafar, kempen tersebut mensasarkan semua produk percetakan dua kumpulan terbabit kerana kedua-duanya dibayangi oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Kempen ini dilancarkan selepas mendapati kedua-dua kumpulan akhbar tersebut secara sengaja terlibat menyebarkan maklumat yang salah, atau berat sebelah, terutamanya melibatkan isu-isu politik," katanya kepada KLpos.com.

Kemuka 3 tuntutan utama

Menurut beliau, Gasak akan mengemukakan tiga tuntutan minima kepada media yang terbabit kerana memberikan laporan yang seimbang, dengan mengetepikan pandangan dan melaporkan daripada dua dimensi iaitu pimpinan kerajaan serta pihak yang menganjurkan sesuatu perhimpunan atau apa-apa acara.

"Industri media hendaklah bebas dalam editorial dan tidak bersandarkan kepada tekanan daripada pemerintah atau pemilik syarikat tersebut. Ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh sesiapa yang boleh memutuskan mengenai berita atau maklumat itu melainkan Jabatan Pengarang media itu sendiri," ujarnya dalam sidang media pelancaran kempen 'Boikot Media Pembohong' di sini pagi tadi.

GASAK kesinambungan kempen boikot media 1999

Jelasnya, penubuhan Gasak adalah sebagai kesinambungan kempen Boikot Media ketika era reformasi pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

"Kemudian, momentum itu mulai hilang disebabkan oleh keterbatasan pada masa itu, di samping ia tidak melibatkan jaringan NGO dan parti politik yang lebih pelbagai dan kami rasakan ia perlu digembeling kembali," responnya kepada soalan.

Beliau berkata, antara objektif utama penubuhan Gasak adalah kerana keprihatinan terhadap laporan pihak media dalam perhimpunan Bersih dan Hindraf yang lalu.

Sementara itu, Khalid menafikan bahawa penubuhan Gasak adalah bersifat sementara memandangkan senario politik tanah air kini yang mendekati pilihan raya umum.

Apa yang penting katanya, keperluan rakyat untuk mengetahui mengenai kebenaran yang terjadi dalam sesuatu peristiwa itu dapat disampaikan secara sahih dan memenuhi etika kewartawanan.

"Malangnya, apa yang mengecewakan kita adalah apabila media kerajaan memainkan peranan untuk mengawal institusi media lain di negara kita, seterusnya mengaburkan pandangan rakyat dengan maklumat palsu dan penuh dengan penipuan," dakwanya.

Laporan media mengenai BERSIH, Hindraf sebagai contoh

Gasak menjadikan peristiwa dua perhimpunan bersejarah yang terjadi dalam bulan ini, anjuran Bersih dan Hindraf sebagai contoh bagi membuktikan kesalahan media tersebut iaitu fakta dari segi angka kehadiran, laporan yang berat sebelah yang secara tidak langsung menggambarkan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab serta melanggar prinsip kebebasan media dan kewartawanan.

"Kami akan melancarkan kempen kesedaran kepada mereka yang membaca, melanggan dan membeli akhbar kumpulan Utusan dan News Straits Times sebagai langkah awal berdasarkan pengalaman tindakan yang sama pada 1998 lalu yang memberi kesan yang buruk kepada media tersebut," kata Setiausaha Gasak, Hasmi Hashim yang juga wakil Komuniti Seni Jalan Telawi.

Di samping itu katanya, Gasak akan menggerakkan kempen ke seluruh negara bagi menggembeling kemarahan NGO, parti politik, portal berita dan para blogger untuk mendapatkan kosensus mereka bagi menyertai gerakan ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah ahli jawatankuasa protem Gasak, Dr Xavier Jayakumar dan wakil Middle Eastern Graduate Centre, Mustaqim.

Sementara itu, KLpos.com dimaklumkan GASAK akan menemui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang bagi mendapat sokongan menjayakan kempen tersebut tidak lama lagi. klpos.com, harakahdaily.net

Tiada ulasan: