Penyapu aibkan penjawat awam
Sebaliknya mereka mencadangkan agar tindakan tegur secara bersemuka, perjumpaan tertutup dan memperkenal sistem bintang atau taraf sebagai pendekatan yang lebih baik bagi merangsang agensi kerajaan mencapai prestasi yang disasarkan.
Presiden Cuepacs Omar Osman berkata cara menegur secara tertutup dilihat sebagai kaedah terbaik yang dapat memberi kesedaran kepada kakitangan agensi yang terlibat, dan pada masa yang sama, mengetahui masalah sebenar mereka.
Beliau berkata pemberian penyapu oleh kerajaan Selangor kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor bukanlah budaya masyarakat
"Saya terkejut dan tidak setuju dengan pemberian penyapu ini. Selepas 50 tahun merdeka, ada lagi cara lain bagi memberi kesedaran kepada pekerja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Dua hari lepas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menghadiahkan 'penyapu' kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik.
Mohamad Khir menjelaskan bahawa pemberian penyapu itu bukan bertujuan menjatuhkan maruah tetapi secara simboliknya, bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif pihak berkuasa tempatan dan jabatan yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang telah ditetapkan.
Langkah itu telah mengundang pelbagai reaksi kurang senang beberapa pihak yang menyifatkan tindakan itu sebagai mengaibkan.
Omar berkata beliau menerima banyak panggilan daripada pekerja sektor awam di seluruh negara yang tidak senang dengan cara itu, dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Cuepacs pada 29 Nov ini.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud berkata pemberian penyapu itu dilihat terlalu kasar seolah-olah memberi isyarat tidak baik.
"Jangan melakukan sesuatu yang mendatangkan aib kepada penjawat awam. Mungkin ada sebab dan halangan mereka tidak mencapai prestasi cemerlang.
"Bukan tidak boleh ditegur tetapi cara itu telalu kasar. Jika sistem seluruh negeri Selangor baik, hanya MDHS saja yang tidak baik, itu lainlah. Penyapu menggambarkan bahawa jabatan tersebut teruk sangat," katanya.
Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Azih Muda pula berkata adalah lebih wajar jika pencapaian atau kelemahan sesuatu jabatan atau PBT itu diukur dalam bentuk 'rating' atau sistem bintang, seperti mana yang diguna pakai dalam bidang perhotelan.
"Dengan menggunakan sistem bintang, PBT yang dapat jumlah bintang yang tinggi dapat berbangga (bila bintang itu dipamerkan), berbanding jika mereka mendapat hadiah seperti tiket percutian, mereka tiada apa-apa lagi untuk dibanggakan bila hadiah itu habis digunakan.
"PBT yang kurang (jumlah bintangnya) pula tentunya malu dan akan berusaha untuk meningkatkan pencapaian mereka," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan