HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2007

Tajol Rosli letak jawatan PTNP selepas bangunan runtuh

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), 17 hari selepas kompleks PTNP di Pulau Banding, dekat Gerik runtuh.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memudahkan siasatan yang sedang berjalan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian pada 13 Nov lepas.

"Kalau saya (kekal) pengerusi akan menyukarkan penyiasatan dibuat dan sebagainya. Jadi saya bersedia untuk disoal siasat oleh mana-mana pihak," katanya pada persidangan akhbar selepas majlis Sambutan Hari Kualiti Perkhidmatan Awam peringkat negeri Perak di Dewan Bankuet di sini hari ini.

Beliau berkata peletakan jawatan itu juga bagi memberi ruang kepada seseorang yang mempunyai lebih banyak masa untuk memberi tumpuan kepada PTNP dilantik sebagai pengerusi yang baru.

"Taman Negeri perlukan seorang yang ada banyak masa untuk menjaga Taman Negeri, itu sebab saya lepaskan jawatan. Saya akan mencari seseorang itu dalam masa seminggu," katanya.

Tajol Rosli berkata tidak ada sesiapa akan memangku jawatan pengerusi PTNP sehingga pelantikan pengerusi baru dibuat.

Katanya selain pengerusi PTNP, beliau juga akan melepaskan beberapa jawatan pengerusi lain yang dipegangnya bagi memberi laluan kepada muka baru yang mempunyai lebih banyak masa dilantik.

Kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah badan penyiasat yang dipengerusikan ketua pengarah JKR Datuk Wong Wai Ching bagi menyiasat punca kejadian itu.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga turut menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bagi menentukan sama ada terdapat salah laku semasa pembinaannya.

Tajol Rosli sebelum ini dilaporkan berkata laporan awal JKR menunjukkan kelemahan pada cerucuk dan ketidaksuaian reka bentuk bangunan mungkin menjadi punca bangunan pusat pentabiran Taman Negara Royal Belum itu runtuh.

Kompleks PTNP bernilai RM4.5 juta itu yang dibina di tebing Tasik Temenggor dirancang sebagai pusat setempat bagi kemudahan pelancong melawat Taman Negeri Royal Belum.

PTNP ditubuhkan pada 2004 sebagai sebuah perbadanan bagi memulihara dan melindungi khazanah semula jadi di Hutan Simpanan Kekal Belum, di Daerah Hulu Perak yang kini telah diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada Mac lepas. BERNAMA

Tiada ulasan: