HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 November 2007

Laporan Khas: Banyak fakta dalam buku teks tidak relevan

KUALA LUMPUR: Kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa selain banyak kesalahan fakta, menyebabkan ia perlu dinilai semula.

Beberapa tokoh ilmuwan termasuk ahli Panel Penilai Buku Teks, berkata penilaian semula itu penting bagi memastikan buku teks yang digunakan untuk pembelajaran memenuhi hasrat ke arah pembentukan modal insan yang cemerlang.

Tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata, penelitiannya terhadap buku teks digunakan di sekolah menengah mendapati banyak kesilapan fakta yang mesti diperbetulkan bagi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat.

Selain itu, katanya, gaya penulisan dalam buku teks sejarah sekolah menengah juga boleh dianggap mengecewakan kerana ia gagal menerangkan secara jelas sesuatu peristiwa secara terperinci.

Beliau memberi contoh kesilapan fakta dalam buku teks sejarah Tingkatan Dua yang antara lain menceritakan mengenai peristiwa perjanjian Inggeris-Kedah membabitkan Francis Light dengan Sultan Kedah pada 1786.

Sejarah menunjukkan tiada sebarang persefahaman atau perjanjian ditandatangani berhubung perkara itu kerana ia dibantah Syarikat Hindia Timur Inggeris ketika itu, manakala pendudukan Francis Light di Pulau Pinang dibuat secara paksaan.

Selain itu, fakta yang menyatakan Negeri Selat hanya membabitkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura juga tidak tepat kerana Dinding turut pernah dijadikan Negeri Selat sebelum diserahkan kepada kerajaan Perak pada 1936.

"Penerangan bagi setiap topik sejarah yang diketengahkan juga tidak jelas menyebabkan pelajar hanya mengetahui sesuatu peristiwa secara asas dan menghafal fakta tanpa diperkukuhkan dengan kefahaman menyeluruh rentetan sebenar peristiwa.

"Akibatnya, pelajar kurang minat subjek sejarah dan apabila mereka memasuki institusi pengajian tinggi, pengetahuan mereka sangat cetek malah ada yang gagal mengingati apa yang diajar di sekolah," katanya dalam satu pertemuan kepada Berita Harian, di sini.

Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Dr Hashim Musa, pula berkata buku teks subjek berkenaan yang digunakan sekarang, ditulis pada pertengahan 2000 dan dicetak pada 2002.

Justeru, banyak isu yang dimasukkan sudah kurang atau mungkin tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa terutama jika dinilai dalam konteks usaha menjayakan aspirasi negara membangunkan modal insan cemerlang.

Beliau memberi contoh, perbincangan mengenai isu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memang sangat sesuai ketika itu tetapi ia sudah menjadi satu topik basi kerana negara kini bergerak ke satu tahap baru seperti pengenalan agropolitan dan projek luar bandar.

"Sewajarnya, buku teks sebagai bahan utama penambah nilai di peringkat sekolah menerapkan perkara ini supaya masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja sedar mengenai pelbagai peluang yang ada di kawasan luar bandar," katanya.

Pendapat itu turut disokong Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia tingkatan satu, Profesor Madya Dr Ahmad Mahmood Musanif yang berpendapat Bahagian Buku Teks, unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia perlu sama-sama terbabit menyediakan buku teks.

Katanya, punca utama guru tidak gemar menggunakan buku teks ialah kerana soalan peperiksaan yang disediakan tidak menjurus kepada bahan dalam buku teks, sedangkan mereka terpaksa memenuhi kehendak pelbagai pihak untuk memastikan pelajar cemerlang dalam peperiksaan.

"Jika soalan yang disediakan diambil daripada bahan atau sukatan pelajaran seperti di buku teks, pasti guru akan memaksimumkan penggunaannya dan ia sekali gus tidak merugikan pelaburan kerajaan menerbitkan buku teks," katanya.

Sementara itu, hasil soal selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 170 guru di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Labuan dan Selangor mendapati 62 peratus daripada mereka memilih untuk kurang atau tidak menggunakan buku teks jika ada pilihan lain.

Malah, kebanyakan guru terlatih dan mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya lima tahun itu, menyifatkan buku teks sebagai bahan bantu mengajar yang tidak mengikut isu semasa serta kurang latihan dalam mempersiapkan murid menghadapi peperiksaan.

Tiada ulasan: