HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 November 2007

Pak Turut" dalam Umno bermula lepas era Tun Razak- Musa

PETALING JAYA: Budaya 'pak turut' yang dihidupkan di dalam Umno selepas zaman kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein telah membantutkan kematangan kepimpinan di dalam parti itu, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Berucap semasa melancarkan buku The Unmaking of Malaysia: Insider's reminiscences of Umno, Razak and Mahathir dekat sini hari ini, beliau berkata, penekanan terhadap soal 'kesetiaan' menjadikan pemimpin sekarang kurang berminat untuk berkhidmat kepada rakyat, sebaliknya lebih cenderung mengejar kepentingan peribadi.

"Setiap kali Tun Abdul Razak bertanya mengenai pencalonan, persoalan yang dikemukakan biasa adalah 'adakah dia boleh berkhidmat?'

"Tapi kemudian persoalan-persoalan sebegitu semakin hilang dan timbul pula soalan 'bolehkah kita percaya kepada dia?'," katanya kepada kira-kira 100 orang yang hadir di majlis itu.


Tun Musa Hitam bersama pengarang The Unmaking of Malaysia di majlis pelancaran buku tersebut hari ini. (Foto Bernama)

"Ini menjadikan pemimpin lebih berminat untuk mendapatkan dana-dana, sedangkan usaha untuk menolong orang-orang miskin masih tidak cukup."

"Jika konsep ini dapat diubah, kematangan budaya politik di negara ini akan dapat ditingkatkan. Ini adalah cabaran kepada pemimpin muda untuk merungkai konsep kesetiaan ini," katanya lagi.

"Mereka harus keluar daripada capaian politik semasa yang lebih menumpukan tentang soal penerimaan kelompok."

Jelasnya, isu kesetiaanlah yang menyebabkan beliau tersingkir daripada arena politik.

Musa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986 selepas tidak sejalan lagi dengan perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya kalah kerana (isu kesetiaan) digunakan ke atas saya dalam politik," katanya.

Mengulas mengenai buku itu karya Ahmad Mustapha Hassan, Musa berkata beliau tidak menyokong sepenuhnya pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh pengarang.

"Sebagai langkah keselamatan, saya perlu beritahu di sini bahawa saya tentunya tidak menyokong pandangan-pandangan di dalam buku ini, namun saya hormati pandangan-pandangan beliau.

"Saya khuatir akan berlaku salah faham kerana saya melancarkannya," kata Musa.

Bekas timbalan presiden Umno itu, yang telah membaca buku itu sepenuhnya, bagaimanapun enggan menjelaskan bahagian-bahagian yang tidak dipersetujuinya di dalam buku itu.

"Ini adalah karya provokatif kerana ia sepatutnya dapat menggalakkan masyarakat supaya mula bertanya soalan-soalan tentang apa yang berlaku," katanya.

Ahmad Mustapha, 71, pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada dua orang tokoh -- Abdul Razak sewaktu perdana menteri dan kemudiannya Dr Mahathir (timbalan perdana menteri).

Pengarang itu, yang juga seorang ahli Umno, telah mengemukakan perbezaan-perbezaan ketara antara dasar dan gaya kepimpinan kedua-dua pemimpin tersebut di dalam bukunya setebal 272 halaman.

Razak disifatkannya sebagai pemimpin yang bekerja keras membasmi kemiskinan, namun usaha itu telah digagalkan oleh pemimpin-pemimpin seterusnya.

"(Dr Mahathir) tidak dekat dengan Melayu luar bandar, oleh itu tidak mengetahui masalah dan aspirasi mereka," katanya dalam buku tersebut.

Dr Mahathir juga disifatkan seorang pemimpin yang autokrat dan sombong, sementara Abdul Razak pula demokratik dan dekat dengan rakyat.

"Tun Razak mempunyai tabiat mematuhi prosedur kerajaan yang betul, Dr Mahathir kelihatan tidak menyukai amalan ini," tulisnya lagi di dalam buku terbitan Strategic Information and Research Development Centre itu.

Pengarang tersebut, yang juga bertanggungjawab merangka ucapan terakhir Abdul Razak di perhimpunan Umno, menulis Mahathir lebih berminat untuk memajukan industri dan bersaing dengan negara-negara Barat daripada menumpukan soal pembasmian kemiskinan. Mstar online

Tiada ulasan: