Desakan Abdullah Berundur Bukan Suara Main-Mainan
Oleh : Rohanie Ahmad
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi didesak mengosongkan seluruh jawatannya dalam kerajaan dan Pekembar (UMNO) dengan serta-merta demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Demikianlah semangat baru yang meledak di kalangan sesetengah rakyat jelata Malaysia setelah gelombang kuning melanda Kuala Lumpur pada 10 November 2007.
Desakan-desakan seperti ini disuarakan dengan lantang, tegas, nyata dan berbuka, menerusi postings dan komen-komen dalam blogs dan portal berita tempatan. Ia juga dipolemikkan di sesi-sesi sembang di kedai-kedai kopi di desa dan kota.
Desak-desakan ini bukan main-mainan. Kalau Abdullah mahukan bukti-buktinya, silakan layari sendiri sebilangan besar blogs dan portal berita maya kebelakangan ini. Bacalah postings mereka dan bacalah juga komen-komen yang ditinggalkan oleh para pengunjung ke blog-blog terbabit.
Abdullah juga boleh memperolehi bukti-bukti mengenai perkembangan ini menerusi maklum balas yang telah dikutip oleh seluruh jentera perisikan kerajaan di seluruh negara.
Oleh itu, Abdullah sewajarnya melapangkan sepenuh masanya pada ketika ini untuk membaca seluruh bukti-bukti ini untuk memastikan kebenaran dan realitinya.
Pada waktu yang sama, Abdullah mestilah bebaskan dirinya daripada cengkaman penyakit atau sindrom penafian yang sedang beliau hidapi.
Kalau beliau tidak berbuat demikian, pasti Abdullah tidak akan dapat berpijak di alam nyata. Sebaliknya, beliau akan terus berada di awang-awangan dengan keyakinan bahawa rakyat jelata terus menyanjung beliau dan kerajaannya pula dalam keadaan stabil.
Fenomena terbaru ini membuktikan bahawa kekecewaan rakyat jelata terhadap Abdullah dan kelemahan serta kepincangannya memang sudah sampai ke peringkat paling maksima. Ia juga membuktikan bahawa kemarahan rakyat jelata terhadap menantu Abdullah juga sudah sampai ke tahap yang sama.
Lantaran itu, beranikah menantunya menasihati Abdullah supaya berundur dengan serta-merta? Atau, mungkinkah kalau Abdullah tidak berundur, maka keputusan itu bukannya keputusan Adullah, sebaliknya keputusan menantunya yang disifatkan oleh banyak pihak, sebagai sedang mabuk kuasa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan