HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 November 2007

Selangor perkenal VSS, bersara awal ganti anugerah penyapu

Oleh Norhana Salashar Basharuddin

KAJANG – Kerajaan negeri Selangor tidak akan memberi penyapu lagi sebagai anugerah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal menperoleh tahap pencapaian minimum pada tahun hadapan, sebaliknya akan mengarahkan para pegawai atasan PBT berkenaan melepaskan jawatan masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, kerajaan akan mengarahkan mana-mana pegawai atasan di PBT yang didapati gagal meningkatkan prestasi supaya bersara awal atau mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

‘‘Kita sudah letih memberi amaran, teguran dan cadangan kepada semua PBT. Kali ini tindakan yang lebih tegas akan dikenakan terhadap mereka.

‘‘Mana-mana PBT yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun hadapan, pegawai atasannya akan diminta meninggalkan pejabat,’’ katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud dan Yang Dipertua MPKj, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman.

Menurutnya, untuk penilaian pada tahun hadapan, pihaknya tidak hanya memfokuskan kepada pencapaian sesebuah jabatan tetapi juga akan menilai prestasi individu yang bertanggungjawab terhadap organisasi yang mereka pimpin.

‘‘Kita bukan lagi menilai jabatan itu sahaja tetapi juga berdasarkan pencapaian individu yang memimpinnya,’’ ujar beliau.

Beliau telah menggariskan 35 kriteria baru yang akan diguna pakai dalam proses membuat penilaian terhadap sesebuah jabatan dan individu.

‘‘Pada tahun hadapan, kita akan membuat penilaian menyeluruh terhadap dasar sesebuah jabatan, pusat sehenti, pelesenan, perkhidmatan asas dan perkhidmatan mengutip sampah,’’ katanya.

Beliau berkata, selepas penilaian dibuat, kerajaan negeri akan menggredkan setiap jabatan berdasarkan empat penunjuk warna iaitu biru (cemerlang), hijau (melepasi sasaran tetapi tidak cemerlang), kuning (tidak melepasi sasaran tetapi boleh bertoleransi) dan merah (tidak boleh bertoleransi).

‘‘Kami akan memberi amaran terhadap jabatan yang mendapat warna kuning. Bagi jabatan yang dapat warna merah, kami akan mengarahkan pegawainya meninggalkan pejabat,’’ tegasnya.

Beliau juga ditanya mengenai kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa kerajaan Selangor telah melanggar garis sempadan pentadbiran yang bukan dalam bidang kuasanya.

‘‘Rais tahu apa yang dikatakannya kerana beliau seorang peguam tetapi sebagai Menteri Besar, saya pun tahu apa yang saya buat,’’ kata beliau.

Tiada ulasan: