HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 November 2007

UPSR: 5A bukan jaminan ke asrama penuh

Oleh: ZAINI RABAN

KUALA KANGSAR . – Kejayaan 48,400 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini belum menjamin tempat mereka di sekolah berasrama penuh (SBP).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom menjelaskan, ini kerana kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk ke SBP malah setiap calon juga mesti cemerlang dalam aktiviti kokurikulum.

‘‘Memang saya jangka akan berlaku satu persaingan hebat bagi mendapatkan tempat ke SBP kali ini kerana jumlah yang dapat 5A terlalu ramai.

‘‘Bagaimanapun, kita sudah ada syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh calon jika mereka mahu masuk ke mana-mana SBP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan buku rujukan sempena Kempen Meningkatkan Ilmu Pengetahuan di Kalangan Pelajar Sekolah Rendah Luar Bandar peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) yang menaja buku terbitan Utusan Publications & Distributors bernilai RM27,000 untuk diedarkan ke sembilan buah sekolah luar bandar di negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Datuk Dr. Mohd. Hashim Tajudin dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Hussain Harun.

Alimuddin memberitahu, tujuan utama kerajaan membina SBP untuk memberi peluang kepada pelajar cemerlang dari kawasan luar bandar supaya mereka dapat merasai suasana pembelajaran lebih selesa.

Jelas beliau, ia juga lebih terarah terhadap usaha kerajaan menyediakan pendidikan terbaik kepada pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan termasuk anak masyarakat Orang Asli.

‘‘Jadi, jumlah seramai 48,400 pelajar dapat 5A dalam UPSR tahun ini kena berhati-hati kerana kita hanya ada 6,000 tempat di 54 buah SBP di seluruh negara.

‘‘Ada di antara mereka memang cukup cemerlang dalam aktiviti kokurikulum, bukan setakat mempunyai bakat sebagai pemimpin malah merupakan wakil negeri dan negara dalam pelbagai aktiviti kokurikulum,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap kegagalan memasuki SBP juga sepatutnya tidak menjadi isu besar memandangkan kebanyakan sekolah pada masa ini terutama di kawasan bandar mempunyai kemudahan yang cukup lengkap.

‘‘Jadi ibu bapa tidak perlu berasa kecewa apabila anak mereka tidak dapat memasuki SBP, apa yang penting adalah kesungguhan pelajar untuk berjaya dan pada masa sama ibu bapa mereka perlu memberi sokongan penuh.

‘‘Lihat sahaja Nur Amalina Che Bakri, yang mencatat pencapaian 17 A1 pada Sijil Pelajaran Malaysia beberapa tahun lalu, dia hanya belajar di sekolah luar bandar di Ulu Tiram, Johor,” ujarnya.

Tiada ulasan: