Sidang Dun Kelantan ditonton secara 'live', dapat pujian luar Negara
Salmah Mat Husain
KOTA BAHRU (Hrkh) - Keterbukaan kerajaan Kelantan yang mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang ketiga (Belanjawan) bagi tempoh penggal keempat yang disiarkan secara langsung seluruh dunia melalui internet mendapat pujian pemerhati rakyat Malaysia di luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa, memberitahu menurut maklumat yang diterima melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sidang Dun Kelantan menduduki ranking tertinggi setakat ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan Belanjawan 2008 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan bagi tempoh penggal yang keempat Dun Kelantan yang ke-11.
Sambungnya, setakat ini maklum balas mereka yang mengikuti sidang Dun Kelantan adalah dari United Kingdom, Mesir, Jordan, Korea, Jepun, Kanada, Vietnam dan Australia.
"Sidang Dun Kelantan mendapat perhatian pemerhati seluruh dunia dan ianya mendapat ranking tertinggi setakat ini.
"Inilah keterbukaan yang kita lakukan terhadap pentadbiran kerajaan negeri dalam bentuk apa sekalipun termasuk menyiarkan secara langsung sidang Dun berbanding negeri lain yang tidak berbuat demikian,"ujarnya.
Sidang Dun Kelantan yang bermula 19 November lalu telah dapat diikuti melalui www.kelantan.tv dan www.ipglobal.tv secara langsung sepanjang persidangan Dun berkenaan berjalan. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan