Penghuni khemah Rimba Jaya dihalau pihak berkuasa jam 2.00 pagi
Nyza Ayob
SHAH ALAM (Hrkh) - Seawal jam dua pagi, beberapa keluarga yang berkhemah dan tinggal di pondok yang dibina di Kampung Rimba Jaya dikejutkan laungan supaya segera berpindah oleh anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Anggota keselamatan tersebut mengerah supaya mereka segera merobohkan khemah dan pondok masing-masing serta diberi amaran supaya tidak memasuki lagi kawasan tersebut.
Dalam pada itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Munah yang menempatkan barang-barang milik keluarganya di sebuah rumah rakan di Meru, Klang, berkata, beliau terpaksa membina khemah di bekas tapak rumahnya pada waktu malam kerana tidak mempunyai penempatan lain untuk bermalam.
"Malam ini saya tidak tahu di mana hendak bermalam. Nampaknya terpaksa menumpang di rumah kawan. Untuk bermalam di sini, kawasan ini telah di kawal ketat dan sekeliling kawasan sudah dipagar," katanya dengan nada sayu.
Sementara itu, menurut pengawal keselamatan yang berkawal di kawasan tersebut, anggota polis, FRU dan MBSA meninggalkan kawasan Rimba Jaya kira-kira jam 12 tengah hari.
Jika pada 12 November lalu kami dibenarkan masuk ke kawasan tersebut oleh pengawal keselamatan, permintaan kami untuk memasuki kawasan tersebut hari ini dihalang dengan alasan kawasan tersebut sudah menjadi 'kawasan larangan'.
Difahamkan perobohan kuil yang terhalang pada 30 Oktober lalu juga berjaya dilenyapkan sebelum mentari muncul. Kawasan sekeliling juga dipagar dan dipalang.
Pada 30 Oktober lalu, 274 buah rumah penduduk termasuk surau Kampung Rimba Jaya dirobohkan pihak berkuasa tempatan selepas diberi notis selama seminggu untuk berpindah.
Bagaimanapuna ada kalangan penduduk terpaksa mendirikan khemah dan pondok kerana tidak mempunyai penempatan lain dan tidak mampu membayar sewa. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan