HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 November 2007

Sehingga Ogos 2007, seramai 74 orang ditahan di bawah ISA

Roy Rasul

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Persidangan Dewan Rakyat, hari ini, diberitahu sehingga 29 Ogos 2007, terdapat 74 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting, Perak.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kesemua mereka ditahan di atas pelbagai kesalahan.

Dalam jawapan bertulis kepada Ismail Noh (PAS - Pasir Mas) dalam sesi soal jawab di parlimen berkata, jenis kesalahannya ialah Jemaah Islamiah, Daulah Islamiah, pemalsuan wang siling RM1.00, pemalsuan dokumen pengenalan, pemalsuan rakyat China, penyeludupan PATI, Gerakan Militan Selatan Thailand, pejuang pemisah empat wilayah dan pemisah selatan Thailand.

Beliau berkata, walaupun tindakan tegas diambil terhadap individu-individu yang dikenal pasti menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam, pihak kerajaan prihatin kebajikan para tahanan.

"Semasa berada dalam tahanan Orang Tahanan (OT) boleh membuat permohonan melalui pegawai penjaga Tempat Tahanan Perlindungan bagi mendapat bantuan kewangan," katanya.

Bantuan kewangan kira-kira RM200 akan disalurkan kepada keluarga OT setelah dipertimbang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Di samping itu, katanya bantuan dari segi sokongan moral, khidmat nasihat serta kaunseling turut diberikan kepada keluarga OT.

Sementara itu, Ismail dalam soalannya mengemukakan mengenai berapa ramai tahanan ISA yang masih ditahan di kem-kem tahanan di negara ini dan apakah kerajaan prihatin dengan anak-anak mangsa yang sedang bersekolah. - mks.

Tiada ulasan: