HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 November 2007

Kes demam denggi meningkat sehingga 33,207 kes

KUALA LUMPUR: Sejumlah 33,207 kes demam denggi dilaporkan sehingga 18 Ogos tahun ini berbanding 22,511 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 10,696 kes atau 47.5 peratus.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata walaupun terdapat peningkatan kes di negara ini, keadaannya masih terkawal dan tidak dikategorikan sebagai cemas.

"Peningkatan kes ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malahan terdapat juga peningkatan kes denggi ini di negara-negara rantau Asia Tenggara yang lain," katanya ketika menjawab soalan M. Kulasegaran (DAPIpoh Barat) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr Chua berkata sehingga 14 Julai tahun ini, negaranegara yang mencatatkan peningkatan kes denggi adalah Singapura iaitu sebanyak 126 peratus, diikuti Thailand (36 peratus), Vietnam (26) dan Kemboja (22) peratus.

Katanya susulan daripada peningkatan kes denggi ini jumlah kematian yang disebabkan oleh penyakit itu turut meningkat.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 74 kes kematian telah dilaporkan berbanding 59 kes kematian pada tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Punca utama kes demam denggi ini meningkat ialah proses urbanisasi yang tidak dirancang dengan teliti, serta kurangnya kerjasama daripada masyarakat untuk membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes yang menyumbang kepada peningkatan nyamuk aedes dan jangkitan virus denggi," katanya.

Dr Chua berkata antara premis yang telah dikenalpasti positif ialah rumah kediaman yang merupakan kawasan majoriti penemuan pembiakan jentik-jentik nyamuk aedes.

"Pada 12 hingga 18 Ogos tahun ini sebanyak 713 buah premis didapati positif untuk pembiakan aedes dan daripada jumlah itu sebanyak 621 buah atau 87 peratus merupakan premis kediaman," katanya.

Katanya senario yang sama juga berlaku pada minggu sebelumnya dan keadaan ini disebabkan kurangnya penglibatan masyarakat dalam aktiviti pengurangan pembiakan jentik-jentik. BERNAMA

Tiada ulasan: