HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 November 2007

KeADIlan seru lantik Pengerusi SPR baru

Kuala Lumpur - Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid sanggup meletak jawatan sekiranya terbukti SPR melakukan penipuan dalam pilihanraya adalah memalukan dan Abdul Rashid seharusnya dipecat atas sikap angkuh ini, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Tian Chua dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Tian Chua melihat keputusan mahkamah dalam kes Likas di Sabah dan Lunas di Kedah cukup membuktikan SPR, di bawah pimpinan Abdul Rashid, sememangnya terlibat dalam penipuan dan penyelewengan.

“Keputusan mahkamah mengesahkan hakikat wujudnya pengundi hantu adalah kerana daftar pemilih yang tidak bersih. Abdul Rashid tidak dapat lagi menolak kebenaran ini dan menggunakan’tiada bukti sah’ sebagai alasan untuk tidak melepaskan jawatan,” katanya.

Tian Chua juga membalas kenyataan Abdul Rashid parti pembangkang tidak harus mengadakan perhimpunan bagi membantah sistem pilihanraya tidak adil dan bebas, bahawa adalah menjadi hak setiap rakyat untuk berhimpun dan berkumpul.

“Kenyataan Abdul Rashid yang berbau politik untuk menghalang rakyat berhimpun secara aman ini amat mirip dengan amaran polis dan parti pemerintah. Tindakan ini adalah tidak munasabah dan profesional sekali kerana perhimpunan aman di luar bidang kuasa SPR.”

“Abdul Rashid seharusnya fokus ke atas masalah pengundi hantu seperti 8437 pengundi baru di Ipoh Timur dan 17 pengundi hantu dalam sebuah kedai di Sekinjang yang didedahkan baru-baru ini,” ujar Tian Chua.

Beliau berkata lagi, sikap Abdul Rashid “tiada negara di dunia yang mempunyai daftar pemilih yang bersih 100 peratus” sebagai alasan tidak dapat menjamin daftar pemilih bersih 100 peratus adalah tidak bertanggungjawab sekali dan harus dipecat segera.

Pada tahun 2001, Hakim Muhammad Kamil memutuskan mengisytiharkan keputusan pilihan raya Dun Likas, Sabah sebagai tidak sah dan terbatal kerana ada pengundi yang tidak wujud, dikesan dalam daftar pemilih bagi kawasan berkenaan, termasuk rakyat asing.

Pada tahun 2005, Hakim Tuan Haji Zainol Rashid Hussin memutuskan kesemua 10 tertuduh dalam perbicaraan kes pengundi hantu pilihan raya kecil Dun Lunas dibebaskan tanpa perlu membela diri.

Tiada ulasan: