HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 November 2007

Di mana salahnya sehingga Ops Sikap gagal bendung kemalangan?

Oleh Prof Madya Mohd Aden

SETELAH berakhirnya Ops Sikap ke XIII dengan 225 kematian tentunya kita ingin bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab apakah segala tindakan yang telah diambil sepanjang tempoh tersebut berkesan? Apakah purata 15 kematian sehari merupakan angka yang menurun atau menaik?

Strict enforcement pays off, fewer deaths this time demikian dilaporkan oleh akhbar New Straits Times tanggal 23hb. November. Ketua Trafik Bkt. Aman pula dilaporkan sebagai telah berkata bahwa Ops Sikap telah mencapai sasaran. Apakah semua itu benar?

Penulis menaruh belas kasihan dengan pihak berkuasa yang tidak dapat mengemukakan statistik yang boleh meyakinkan orang ramai bahawa segala langkah yang telah diambil sepanjang Ops Sikap ke XIII telah membuahkan hasil.

Kalau dengan menggunakan segala sumber, aset dan kekuatan yang ada dan Ops Sikap 13 hanya mengurangkan 3 kematian sahaja jika dibandingkan dengan 228 kematian di dalam Ops Sikap ke XII tahun lepas, maknanya jelas bahwa pihak berkuasa telah GAGAL. GAGAL sepertimana juga halnya dengan tahun tahun yang lepas.


Analisis Statistik

Di dalam bidang statistik ungkapan ungkapan seperti berkurang, kecil atau sedikit tidak boleh diterima. Juga penurunan tiga kes kematian atau 1.3 peratus berbanding Ops Sikap ke XIII tidak boleh diterima sebagai menunjukkan bahwa usaha polis trafik dan pihak penguatkuasa yang lain telah mula memperlihatkan kesannya.

Begitu juga orang awam rasanya susah untuk menerima alasan pihak berkuasa yang sentiasa bersembunyi disebalik alasan peningkatan bilangan kenderaan untuk mewajarkan apapun statistik yang mereka perolehi.

Berdasarkan statistik untuk mengatakan bahwa ada penurunan ketara di dalam jumlah kematian angka hendaklah menunjukkan sekurang kurangnya 5 peratus. Tetapi dengan segala sumber, aset dan kekuatan yang telah dihimpunkan oleh kerajaan untuk Ops Sikap, penulis fikir penurunan hendaklah menunjukkan sebesar 30-50 peratus sebelum mereka layak mengatakan bahwa penguatkuasaan telah berkesan. Bermakna jikalau angka kematian menurun kepada 160 baru ada penurunan sebesar 30 peratus. Tetapi kita cuma dihidangkan dengan peratusan menurun sebesar 1.3 peratus.

Penulis ingin menyarankan agar pihak berkuasa merujuk kepada pakar atau pegawai mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan di dalam bidang statistik terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan dibuat tentang keberkesanan atau penurunan sesuatu angka tersebut supaya pihak awam tidak bersangka buruk dengan tahap kecerdasan pegawai yang ada di dalam perkhidmatan awam.

Dari pemerhatian dan dapatan Ops Sikap XIII ceritanya sama sahaja seperti Ops Sikap yang sudah sudah yaitu bahwa korban tertinggi sekitar 54-60 peratus adalah dari penunggang dan pembonceng motosikal. Dan juga bukan berita baru lagi bahwa kemalangan paling banyak terjadi di jalan bandaran diikuti oleh jalan persekutuan dan jalan negeri.

Dan mengenai punca kemalangan pula disebabkan oleh sikap degil serta cuai segelintir pengguna jalan raya yang antaranya berlaku disebabkan terbabas sendiri, memandu melebihi had laju, tidak nampak kenderaan lain, memotong di garisan berkembar, memotong dalam keadaan bahaya, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memotong di sebelah kiri, cuai melintas jalan, melawan aliran trafik, membuat pusingan U dan mengekori rapat kenderaan lain menunggang secara berbahaya dan laju serta tidak mengikat topi keledar dengan ketat dan sebagainya. Dan kenyataan bahwa terdapat kira kira 95 peratus kemalangan di negara kita berpunca daripada sikap pemandu yang tidak berhemah dijalanraya. Cerita lama.

Kos Kemalangan

Bercerita tentang kos kemalangan pula, sehingga kini belum ada satu pihak pun yang dapat tampil untuk menghuraikan berapa nilai kuantitatif akibat kehilangan modal insan. Jikalau kita boleh guna angka purata kematian dijalanraya sebanyak 15 sehari, maka dalam sebulan sudah lebih kurang 450 kematian dan dalam setahun kita sudah ada 5400 kematian dijalanraya. Dan jika kita ambil kira sehingga Ops Sikap 13, maka jumlah kematian sudah mencecah di atas 70,000 jiwa.

Kalau kita ambil kira penunggang dan pembonceng motosikal sahaja yang rata rata masih di dalam golongan muda belia maka Negara telah kehilangan modal insan sekitar 42,000 orang. Apakah angka angka ini belum mencuit bapak bapak yang berkuasa yang apabila berkata kata maka perkataan ‘modal insan’ ini tidak kering dari bibir?

Anjakan Paradigma diperlukan

Menurut komen Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalanraya berikutan penurunan jumlah kematian sebanyak 1.3 peratus dan pemerhatian bahwa tiada kemalangan melibatkan bas ekspres dalam Ops Sikap XIII, “…. shows that enforcement, if carried out diligently, works”.

Kepada komen dari Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalanraya tersebut penulis ingin tambah perkataan ‘berterusan’ dan bukannya bermusim seperti setahun sekali atau ikut musim perayaan.

Kalau kita fikirkan bahwa telah sekian banyak Ops Sikap yang telah dilancarkan dan hasilnya adalah kegagalan sudah sepatutnya pihak berkuasa berfikir apakah tidak mungkin halacara yang digunapakai sekarang ini salah. Apakah pengguna jalanraya yang sedia ada boleh mengubah sikap dengan berkesan melalui iklan TV dan atau radio dsbnya ataupun melalui pesanan atau nasihat sahaja.

Kalau adapun mungkin tidak signifikan dari segi statistik. Tapi kalau untuk bakal pengguna jalanraya yang masih dibangku sekolah, generasi kita yang akan datang saya percaya ianya boleh dibuat. Saya fikir untuk pengguna jalanraya yang sedia ada sekarang ini hanya melalui kaedah penguatkuasaan sahaja yang boleh membawa kepada perubahan sikap yang berkesan. Di Negara kita ini penguatkuasaan apa pun juga oleh pihak yang berkuasa adalah tersangat lemah.

Buktinya sepanjang Ops Sikap ke XIII sebanyak hampir 150,000 saman telah dikeluarkan kepada pesalah jalanraya yang tentunya berjaya dikesan oleh penguatkuasa. Persoalannya ialah kenapa begitu ramai sekali pengguna jalanraya yang tidak mengikut peraturan jalanraya. Ini bermakna bilangan pengguna jalanraya yang melakukan kesalahan sudah tentu jauh lebih besar dari angka tersebut.

Mungkin bilangan pengguna jalanraya yang sewenang wenangnya melakukan kesalahan adalah tiga kali ganda dari itu! Maaf, sepatutnya kita patut bertanya kenapa sebegitu ramai pengguna jalanraya tidak takut untuk melakukan kesalahan jalanraya? Mustahil pengguna jalanraya tidak tahu peraturan jalanraya! Berbeza sekali kalau pembaca pernah memandu dijalanraya di Negara jiran. Kita sentiasa rasa takut untuk melakukan kesalahan. Kenapa?

Cadangan

Penulis ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya

  1. Kuatkuasakan peraturan jalanraya yang boleh dilihat oleh orang awam dan dibuat secara berterusan sehingga suatu masa dimana pengguna rata ratanya akan berasa gerun untuk melakukan kesalahan dijalanraya. Tempatkan anggota penguatkuasa diserata simpang dibandar dan di mana mana tempat atau kawasan yang besar kemungkinan pengguna akan melakukan kesalahan jalanraya. Buatlah selama paling kurang tiga(3) bulan dan kita lihatlah hasilnya.
  2. Tumpukan penguatkuasaan ini terhadap kategori motosikal kerana kematian melibatkan motosikal antara 54-60 peratus. Peratus yang besar ini sebenarnya membawa erti bahwa sebarang penurunan peratus akan menyebabkan angka kematian jalanraya akan menjunam turun.
  3. Urusan kompaun pesalah jalanraya hendaklah supaya kesannya kepada ekonomi saku pengguna jalanraya dapat dirasai dengan segera.

Penguatkuasaan ini tentunya akan mendatangkan kesusahan kepada pesalah tegar tetapi itulah antara cara kerajaan boleh mengubah sikap pengguna jalanraya sedia ada sekarang ini yang sebahagian besarnya sudah susah untuk dididik melalui iklan, nasihat maupun pesanan dari pihak yang berkuasa.

PENULIS merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti terkemuka (
Pengarang )

Tiada ulasan: