HALAMAN SANTAI

Selasa, 13 November 2007

Zainuddin Maidin yang bergigi kuning

Oleh Fudzail

BAGI kami yang berada di luar negara, 10 November 2007 memang satu hari yang mendebarkan. Jarak tidak membenarkan kami turut serta untuk mengharungi tembok polis, perang saraf, ugutan 'saya pantang dicabar' dalam sama-sama mencipta sejarah tanahair yang lebih hebat dari makan angin ke angkasa atau meng'angkasa'kan bangsa.

Memang terasa ingin sekali turun ke jalan raya untuk menyuarakan protes aman sebagaimana termaktub dalam rukun demokrasi. Ramai yang masih menganggap, demokrasi itu sekadar pilihanraya. Dan pilihanraya itu sekadar membuang undi.

Perarakan anjuran BERSIH ini mengembalikan nostalgia sewaktu dikejar polis dan disembur air di era reformasi. Setiap petang Sabtu untuk ramai-ramai mengutuk-ngutuk sang PM ketika itu.

Perbicaraan 'tilam sebagai saksi' dan Balck 14 yang memberi pengalaman sebagai rakyat yang prihatin dan mahukan perubahan.

Itu adalah deretan peristiwa yang tidak mungkin dilupakan, kerana selepas pilihanraya, saya dibuang kerja 24 jam tanpa alasan dan menjadi imigran sehingga sekarang.

Panggilan untuk berdemonstrasi dalam menegakkan kebenaran akan sentiasa disahut. Peduli apa dikategorikan halal atau haram mengikut hukum hadhari dari golongan yang semakin tidak peduli, samada halal atau haram, demi mencapai matlamat untuk terus kekal berkuasa atau mahu menjadi perdana menteri sebelum umur 40 tahun.

Tentunya puak-puak 'beraja di mata, bersultan di hati' yang sejak 50 tahun lalu, evergeen dari dulu, kini dan selamanya ini terus mahu berkuasa melalui proses 'pilihanraya paling demokratik ala Malaysia'.

Sistem demokrasi yang dipunahkan secara sistematik selama 22 tahun oleh Abu Mirzan dan disambung warisannya dan bertambah kronik sejak 4 tahun lalu oleh Abu Kamarudin.

Demokrasi yang membenarkan parti pemerintah menyalahgunakan segala jentera dan harta kerajaan untuk berkempen dan memastikan badan seperti SPR, kehakiman dan Polis sebagai kuda tunggangan.

Demokrasi yang memastikan semua media dikuasai oleh parti pemerintah dan kroni dan sekatan pada akhbar milik pembangkang. Demokrasi yang menidakkan pilihanraya yag adil, telus dan terbuka dalam erti kata sebenarnya.

Demokrasi yang memperlihatkan semakin kronik korupsi di semua peringkat dan sayap kerajaan serta penyelewengan yang melibatkan bilion ringgit tanpa apa-apa tindakan berkesan, selain 'kerja bersama saya' sebagai slogan imej hadhari.

Demokrasi yang menyuburkan rasuah sebagai budaya kehidupan masa kini kerana BPR semakin berfungsi untuk melindungi perasuah dari didakwa dan menghukum whistle blowers dari membongkar kecurangan.

Begitulah pada 10 November 2007, dengan kemajuan teknologi, kami mengikuti perkembangan lanjut perjalanan perhimpunan 100 ribu rakyat melalui SMS secara lintas langsung, Internet dan tentunya Al Jazeera. Sebagai tanda sokongan, berbaju warna kuning sepanjang hari.

Berkebetulan pula, di Dubai ketika itu dalam persiapan acara Air Show dan rumah saya yang bersebelahan dengan lapangan terbang dapat menyaksikan pelbagai latihan pertunjukan secara terus menerus.

Antara menonton raptai Air Show yang mengkagumkan dan liputan demonstrasi yang lebih mengkagumkan, dapat dirasakan keseronokan dan kesyukuran setelah mengetahui yang puluhan ribu rakyat telah menguningkan Kuala Lumpur.

TV Al Jazeera yang berpengkalan di Doha dan sama beroperasi di Kuala Lumpur memberikan liputan yang telus. Wartawannya terkena air asid secara langsung untuk disaksikan jutaan lain di dunia mengenai, inilah wajah 'Demokrasi ala Malaysia'.

Begitupun, kegembiraan dan keseronokan melihat kejayaan wakil BERSIH menghantar memorandum pilihanraya kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung sedikit tercela apabila mendengar suara Sang Menteri Penerangan yang diwawancara di Al Jazeera.

Tidak pasti sama ada Sang Menteri yang pernah berjawatan ketua pengarang sebuah akhbar perdana milik parti pemerintah itu tidak memberus gigi dan bergigi kuning sewaktu ditanya soalan.

Mungkin juga ketua propaganda kerajaan ini telah terkejut beruk melihat ramainya rakyat berani melanggar hukum haram syura Hadhari walau diperlekehkan sebagai 'beruk di tepi-tepi jalan' oleh sang menantu kesayangan diperhimpunan angguk-angguk terbesar di dunia.

Malah Sang Menteri dengan angkuh berkata sehari sebelumnya yang perhimpunan rakyat ini tidak mungkin mendapat sambutan.

Apalagi tiada umpan seperti konsert dan makanan percuma, apalagi projek besar di mana-mana koridor ekonomi yang tumbuh macam cendawan telah dijanjikan oleh penganjur, seperti yang biasa dilakukan oleh parti pemerintah.

Dalam ketawa terbahak-bahak mendengar jawaban yang tidak kena mengena dengan soalan serta bahasa Inggeris tunggang langgang, terasa begitu sedih dan terhina sebagai rakyat Malaysia di luar negara.

Begitu teruk dan tiada kelasnya imej seorang ahli kabinet negara yang memalukan sekali.

Begitu emosional dan penuh dengan prasangka buruk terhadap orang lain. Helo Zam, kalau dibandingkan RTM dengan Al Jazeera, tentunya tidak terbanding sama ada dari segi mutu mahupun jenama secara global.

RTM sejak dulu sehingga sekarang tidak lebih longgokan propaganda dan saluran maklumat yang tidak mempunyai kredibiliti.

Lebih dari itu, menteri yang bertanggungjwab juga sama tidak mempunyai kredibiliti walau dijulang sebagai Tokoh Wartawan Negara.

Pada Zainudin Maidin, anda telah memalukan negara dan menjatuhkan imej Malaysia sebagai salah satu negara 'demokrasi' yang dikatakan paling maju dikalangan negara OIC dan sepatutnya di hukum buang negeri selama-lamanya!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it serta kerjadubai.blogspot.com)

Tiada ulasan: