HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2007

UMNO sendiri lahir dari perhimpunan haram
Oleh : Dr Lo’lo’ bt Hj Mohd Ghazali
AJK PAS Pusat

Perhimpunan-perhimpunan menentang Malayan Union adalah menjadi penyebab kepada lahirnya Umno. Sejarah telah merakamkan bahawa setelah orang Melayu keluar beramai-ramai dan berdemonstrasi menentang Malayan Union, mereka telah berkumpul dan menubuhkan Umno. Sekiranya orang Melayu pada masa itu menunggu permit polis dari Kerajaan British nescaya Malayan Union tidak dapat dihalang dan Umno tidak akan wujud. Malaya akan tetap di bawah British.

Jadi demo dan himpunan rakyat untuk menyatakan ketidakpuasan hati adalah budaya kita sejak dulu, budaya Umno, budaya PAS, budaya NGO dan sebahagiaan mereka yang berprinsip dan bangun mewakili rakyat majoriti.

Mengapa Umno dengan tiada segan dan silu kerap kali mengungkapkan perkataan Perhimpunan Haram bagi melabel tindakan rakyat Malaysia berhimpun dan menyatakan sikap mereka? Adakah Umno “mengata dulang paku serpih”? Sedangkan sudah berapa kali Umno, MCA dll NGO berdemo atas isu antarabangsa serta tempatan. Malah dalam filem Hati Malaya yang saya tonton video klip promosinya, dipaparkan sejarah rakyat yang celik dan berani bangun menentang kezaliman penjajah. Yang tidak mahu berdemo selain kerana keuzuran adalah mereka dari golongan pengampu, penakut dan dayus.

Malah di Kelantan himpunan anjuran Umno didalangi Annuar Musa dalam percubaan Umno untuk menabal sultan lain selain dari Sultan Kelantan yang ada sekarang. Mengapa Umno boleh melakukannya sedang orang lain tidak? Himpunan rakyat mencerminkn masyarakat madani. Kini dua hero rakyat lahir dari kegelapan Umno/BN. Hero dari Parlimen Cameron Highland YB S.K.Devamany dan YB dari Penang. Mereka sekurang-kurangnya meminta pimpinan Umno/BN melihat dan mengkaji mesej yang dihantar oleh para pen‘demo’ dan rakyat yang berhimpun, bukat mengugut.

Peristiwa 1946 dibahasa di DUN Kelantan

Hujah tentang demo dan himpunan menentang British di atas ini juga digunapakai oleh YB Nasaruddin Daud dalam Perbahasan Titah Sultan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kelatan baru-baru ini. Ia telah menyebabkan wakil-wakil rakyat Umno seperti terkejut (sebab menafikan sejarah). Itulah sikap hipokrit dan tidak cerdiknya mereka. Berbagai-bagai alasan tidak cerdik telah cuba digunakan oleh wakil-wakil rakyat Umno bagi membenarkan sikap “double standard” mereka. Tidak hairanlah juga antara mereka ada seorang YB yang masih tidak cukup umur dan cukup akal. Masih duduk dalam khayalan zaman kanak-kanak, di mana kaki dan tangan jadi senjata bila kalah berhujah.

Hujah yang mengatakan Perhimpunan 1946 bukan perhimpunan haram kerana waktu itu tiada undang-undang adalah dangkal dan buta sejarah. Mana ada negara yang tiada undang-undang meskipun dijajah. Jika British menjajah, undang-undang yang digunapakai adalah undang-undang British, tapi datuk nenek kita dulu bangun berdemo dan berhimpun ramai-ramai untuk nyatakan perasaan. Kerana apa? Kerana penjajah atau pemerintah yang ada tidak mendengar dan menafikan keluhan dan ketidakpuasan hati rakyat.

Hujah yang menyatakan Demonstrasi sekarang ini tidak dibenarkan kerana ianya membawa kepada keganasan juga tidak berpijak dibumi nyata. Kalau sejarah 13 Mei yang dijadikan sandaran, ramai orang sudah tahu fakta sejarah bahawa yang menyebabkan peristiwa 13 Mei adalah kerana provokasi melampau dari penyokong-penyokong Umno dan faktor ketidakadilan sosial dan ekonomi pada masa tersebut. Selepas itu ’Bloody Sunday’ yang terkenal, mereka yang cedera parah adalah para demonstran kerana campur tangan dan provokasi polis. Peristiwa Batu Burok pula, bukan program demo tetapi ceramah di laman rumah individu yang tidak perlu permit. Banyak sudah ceramah diadakan di situ tanpa sebarang insiden. Jelas kepada kita, bahawa demo dan perhimpunan menjadi ganas hanya apabila berlaku campur tangan serta tindakan biadab pihak polis terhadap ahli perkumpulan. Apabila tiada campur tangan pihak polis, semua perhimpunan tersebut menjadi aman.

Hujah seterusnya, Perhimpunan tersebut menjadi haram kerana tiada permit (yakni bertentangan dengan undang-undang negara). Ia tiada permit kerana Umno/BN tidak mahu memberi permit tanpa alasan yang kukuh. Hanya kerana perhimpunan-perhimpunan ini merugikan Umno dari segi politik sahaja dan ia juga mendedahkan kebobrokan, kepincangan dan kemungkaran Umno dan BN kepada rakyat.

Harus diingat bahawa permit diberikan oleh Polis manakala Polis diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang dikawal oleh Umno/BN. Sekiranya pihak polis menolak permit mana-mana pihak bererti ianya adalah penolakan dari Umno/BN.

Polis Adalah Alat Barisan Nasional Untuk Terus Berkuasa

Pihak Polis di Malaysia tidak lebih dari biro di dalam Umno bertanggungjawab mengekalkan kuasa Barisan Nasional di Malaysia. Mereka hanya mengikut arahan Umno dan bertindak dengan begitu rakus menggagalkan sesiapa sahaja yang dikhuatiri merugikan Barisan Nasional. Ini dibuktikan dalam soal siasat terhadap tahanan-tahanan ISA. Yang ditanyakan soalan-soalan politik dan pimpinan politik parti-parti selain BN, soalan-soalan tentang keselamatan negara langsung tidak popular.

Pihak Polis lebih sanggup menjalankan sekatan-sekatan jalan raya di dalam usaha menggagalkan perhimpunan rakyat dari berusaha mencegah jenayah. Tidak pernah lagi kita dengar polis menyuraikan himpunan Mat Rempit.

Dikala rakyat Malaysia hidup dalam ketakutan angkara penjenayah serta perogol. Sampai sekarang pembunuh kejam Nurin belum ditangkap, bgitu juga pembunuh Prissy, 9 tahun. Mengapa tidak dikerah seluruh kekuatan polis untuk menangani jenayah yang makin menjadi-jadi? Polis sanggup menumpukan tenaga dan usaha mereka ke arah menjayakan agenda politik Barisan Nasional, tapi tidak bersungguh untuk menjaga keselamatan rakyat.

Jelas kepada kita bahawa Polis Diraja Malaysia sudah hilang komitment mereka kepada rakyat Malaysia.

Kasihan rakyat Malaysia seolah-olah tiada tempat lagi untuk berteduh dan berlindung. Kerajaan BN hanya mahu melindungi kepentingan dan kekayaan kroni dan Umnoputra dan rakyat terpaksa bersusah payah dan menderita. Apabila rakyat bersuara tidak puas hati, Polis digunakan untuk bertindak kasar dan zalim kepada rakyat. Media juga sama, sanggup melacurkan habis etika kewartawanan mereka.

40% pegawai atasan boleh didakwa keranaa hidup mewah melebihi pendapatan, perlantikan hakim yang diatur melalui panggilan talifon, pesalah rasuah yang masih bergelar YB dalam DUN dan Parlimen, Jenayah yang sudah masuk dalam rumah dan kejiranan kita, harga barang dan sara hidup yang berlipat kali ganda naik, bangunan yang bocor dan runtuh. Rumah, masjid, surau, kuil rakyat yang diroboh oleh pihak penguasa atas nama pembangunan.

Saya tidak tahu bagaimanakah nasib anak-cucu serta keturunan saya selepas ini jika Umno/BN terus menipu, memerintah dan menghancurkan Malaysia. Sekarang rakyat mesti cepat bertindak dan lakukan apa yang betul bukan ikut nafsu yang hanya pentingkan keselesaan diri dan keluarga masing-masing sahaja.

Tiada ulasan: