Rahsiakan tarikh pilihan raya, bukti SPR perkakas BN
Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Tindakan kerajaan dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan bahawa 'tarikh pilihan raya umum (PRU) telah pun diketahui' memperlihatkan satu lagi permainan politik kotor Pengerusi SPR yang menjadi dalang Umno-BN.
Selain merahsiakan tarikh itu dari pengetahuan umum, paling menyedihkan ia memalukan rakyat kerana Umno terpaksa menggunakan taktik tersebut supaya parti lain seolah-olah duduk dalam keadaan 'tidak selesa' dan tertanya-tanya bila tarikh sebenar pilihan raya.
Tindakan ini menjauhi amalan demokrasi di negara maju yang lain yang akan mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal antaranya sebulan atau tiga bulan dari tarikh pembubaran parlimen.
Sikap berpura-pura Pengerusi SPR menyatakan pilihan raya di negara ini dijalankan secara bersih dan adil amat mengecewakan memandangkan beliau merelakan badan yang dilantik Yang di-Pertuan Agong itu diperguna oleh parti politik.
Amat
Kenyataannya mengenai kesediaan untuk SPR mengatasi permasalahan dalam proses perjalanan pilihan raya hanyalah 'wayang kulit' semata-mata memandangkan tindakan susulan yang akan dilakukan selepas itu hanya untuk 'melepaskan batuk di tangga' sahaja.
Cadangan dari PAS mengenai penghapusan undi pos, semakan daftar pemilih dan penggunaan dakwat kekal sehingga kini dipandang sepi SPR.
Rakyat pula dipermainkan dengan retorik kosong pimpinan kerajaan merangkap pimpinan BN yang seolah memperbodoh rakyat melalui saluran akhbar pro BN.
Sejak beberapa bulan lalu, jentera kerajaan terutamanya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Jabatan Penerangan dan Kementerian Pelajaran diperguna untuk mejadi 'pendakyah' memancing undi rakyat.
Tanpa 'isyarat' dan 'signal' pilihan raya jentera kerajaan terus dipergunakan di segenap lapangan masyarakat dengan pengumuman projek di sana-sini dan janji pilihan raya yang ditaburi.
Nyata sekali, Umno-BN menggunakan jentera kerajaan termasuk semasa kempen pilihan raya, namun SPR sedikitpun tidak mengendahkannya.
Jika di negara lain, seperti India, penggunaan jentera kerajaan adalah salah dalam akta pilihan raya mereka, namun Malaysia lebih hebat dari India, SPR sendiri boleh dipergunakan oleh parti politik.
Nyatalah, dari kenyataan Pengerusi SPR, menampakkan badan itu memulakan semula lagu-lagu 'keroncong untuk BN' seperti pilihan raya terdahulu.
Kesengajaan dan kerelaan SPR diperguna Umno-BN ini nyata sekali satu langkah 'pengecut' yang terbayang dari jentera BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi.
Seperti kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar bahawa jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat ini, PAS tidak yakin SPR akan jalankan pilihan raya dalam keadaan bersih.
Oleh sebab itu PAS merasakan ada baiknya pilihan raya tidak diadakan dalam masa terdekat ini sehingga usaha bersihkan SPR berlaku, katanya. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan