HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 November 2007

23 pulau Indonesia tenggelam akibat dunia panas

JAKARTA: Akibat pemanasan global, sekurang-kurangnya 23 buah pulau tidak berpenduduk di Indonesia telah tenggelam dan hilang, menurut seorang pakar alam sekitar tempatan, Prof Dr Emil Salim.

Beliau khuatir lebih banyak pulau termasuk yang didiami manusia juga akan tenggelam akibat pemanasan global yang berterusan menjelang 2025, yang satu daripada gejalanya ialah akibat kenaikan permukaan aras laut.

Katanya Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 buah pulau yang sebahagian besarnya tidak berpenghuni, bagaimanapun masih berpeluang dan mempunyai masa yang cukup untuk menghindari fenomena alam itu.

"Cara yang paling mudah ialah dengan menyelamatkan hutan, yang penting dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha masyarakat antarabangsa untuk menghadapi buruknya kesan pemanasan global yang kini melanda seluruh dunia," katanya yang dipetik agensi berita Antara hari ini.

Satu daripada punca pemanasan global ialah keseimbangan alam yang terganggu akibat tindak-tanduk manusia sehingga menyebabkan gas karbon dioksida semakin tebal menyelimuti bumi. BERNAMA

Tiada ulasan: