HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 November 2007

Istana Negara perkenan terima wakil Bersih mengadap DYMM petang ini

Oleh Ruhanie Ahmad

DATUK Seri Abdullah Ahmad memberitahu seluruh dunia petang tadi bahawa beliau pantang dicabar. Kita mesti terima kenyataan itu dengan penuh hormat dan takzim kerana pendirian itu adalah hak asasi Abdullah sebagai individu, Perdana Menteri dan Presiden UMNO Malaysia.

Oleh kerana itu, saya tidak akan sekali-kali mencabar Abdullah. Tetapi, saya hanya mahu bertanyakan beberapa soalan mudah kepada Abdullah. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:

Soalan asal satu: Pihak Istana Negara sudah menyatakan perkenaan untuk menerima 10 orang wakil BERSIH mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada petang 10.11.07 untuk menyerahkan memorandum mengenai Pilihan Raya. Tidakkah secara tidak langsung ini bermakna bahawa perarakan gelombang kuning berada dalam pengetahuan Istana Negara?

Soalan tambahan: Pihak Perdana Menteri pasti sudah mendapat maklumat ini. Jadi, apa implikasinya kalau perarakan itu dihalang dan para pesertanya dikasari oleh pihak keselamatan?

Soalan tambahan: Bukankah lebih wajar kalau pekembangan di atas ini ditafsirkan secara waras dan rasional untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang seribu satu macam bentuknya?

Soalan asal dua: Perdana Menteri juga memberitahu seluruh dunia petang tadi bahawa peristiwa di Batu Buruk, Terengganu, baru-baru ini adalah perbuatan liar. Kenapa tidak dihebahkan bahawa seorang pegawai polis telah melepaskan dua das tembakan peluru hidup kepada dua orang pemuda tanpa mengikut Geneva Convention?

Soalan tambahan: Kenapa tidak dijawab soalan mengenai tembakan peluru hidup itu sampai sekarang? Siapakah yang liar dalam kes tembakan itu?

Soalan asal tiga (tak berkaitan dengan BERSIH): Sewaktu ratusan ribu rakyat Johor dilanda banjir besar hujung 2006, Perdana Menteri tergesa-gesa terbang ke Perth, Australia. Betulkah laporan akhbar The Star baru-baru ini bahawa Perdana Menteri ke sana untuk pergi belayar dalam sebuah kapal layar serba canggih? Inikah contoh pemimpin besar yang sangat-sangat berjiwa rakyat?

Soalan asal empat (juga tak ada kena mengena dengan BERSIH): Beberapa bulan lalu ada sekumpulan kaum India Malaysia berdemonstrasi di Putrajaya. Adakah demo itu dapat kelulusan polis? Kenapakah kisah itu tidak dilaporkan oleh media perdana?

Soalan tambahan: Kalaulah demo ini tidak ada permit, kenapa tidak ada tindakan polis? Kenapa kisah di Batu Buruk pula diperbesar-besarkan out of propotion?

Saya rasa cukuplah untuk saya mengemukan empat soalan asal dan beberapa soalan tambahan seperti di atas. Saya harap Abdullah tidak akan melenting dan menuduh saya sebagai mencabar beliau.

Saya tidak mencabar sesiapa. Saya hanya kemukakan soalan mudah yang perlu dijawab kalau Abdullah sudi, atau biarkan sahaja tanpa jawapan, kerana sebilangan rakyat jelata pun sudah tahu jawapan sebenarnya.

Pokoknya, saya berpegang kepada kenyataan Abdullah bahawa beliau pantang dibacar. Jadi saya tidak mencabar beliau. Untuk rekod, secara hitam dan putih menerusi blog ini, saya cuma bertanya!!!

Datuk Ruhanie Ahmad merupakan bekas ahli parlimen Parit Sulong. Blognya boleh dilayari di kuda-kepang.blogspot.com - Pengarang

Tiada ulasan: