HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2007

TOL kekal....petrol bagaimana?
Oleh : KAMAL AMIR

LEDAKAN pertama sebagai umpan pilihan raya didengungkan oleh sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi bernama Mr. Samy Vellu (akronimnya SamyTol) adalah jaminan kerajaan tidak menaikkan kadar tol di empat buah lebuhraya.untuk tahun hadapan. Hanya untuk satu tahun sahaja sebaliknya tahun mendatang tol tetap dinaikkan mungkin jumlahnya dua kali ganda.

Meskipun Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Parlimen Datuk Shahrir Samad mencadangkan agar kerajan mengambilalih saham-saham dari syarikat yang memegang konsesi lebuhraya namun tiada reaksi positif ke arah itu sebagai usaha menyelesaikkan kemestian menaikkan kadar tol setiap tahun.

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Kabinet hari ini bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol bagi empat buah lebuh raya termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pengumuman tersebut dibuat setelah Kabinet bermesyuarat hari ini dan ia hanyalah untuk tempoh setahun iaitu pada tahun 2008 sahaja.

``Lebuh raya lain yang terlibat adalah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Ulu Klang (PROLINTAS), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) Kerinchi dan Damansara Link,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Ekoran langkah tidak menaikkan tol itu, kata Samy Vellu, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada PLUS sebanyak RM145 juta, Jambatan Pulau Pinang sebanyak RM39 juta, SPRINT RM32 juta dan PROLINTAS sebanyak RM26 juta.

Kerajaan juga katanya, perlu membayar pampasan sebanyak RM75 juta bagi tahun 2008 kepada Syarikat Konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong kerana mengurangkan kadar tol daripada RM2.10 kepada RM1.60.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan juga perlu membayar sebanyak RM27 juta kepada Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) bagi tempoh 2005 hingga 2007.

``Keseluruhan pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya adalah sebanyak RM344 juta,’’ katanya.

Jelas beliau, jumlah pampasan tersebut merupakan anggaran sahaja dan tertakluk kepada jumlah trafik sebenar.

Samy Vellu berkata, keputusan untuk tidak menaikkan kadar tol tersebut ialah kerana kerajaan tidak mahu membebankan pengguna yang banyak menggunakan lebuh raya tersebut.

Bagaimanapun beliau menafikan pengekalan kadar tol tersebut adalah sebagai helah pilihan raya umum.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, kadar tol di enam lebuh raya lain akan dinaikkan mengikut perjanjian konsesi.

Lebuh raya itu adalah Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah; Lebuh Raya Kulim Butterworth, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Bukit Kayu Hitam.

``Kadar minimum bagi kenaikan tersebut adalah tujuh peratus dan maksimum sehingga 50 peratus,’’ ujar beliau.

Katanya, kenaikan itu dibuat kerana tidak ramai pengguna jalan raya yang menggunakan lebuh raya tersebut.

Jelas beliau, sebagai contoh, hanya terdapat 16,000 pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura setiap hari.- Utusan Malaysia

Dari angin yang bertiup kencang sudahpun tersebar perkhabaran duka bakal melonjaknya harga pasaran minyak petrol dan gas menjelang awal tahun di mana kesan kepada kenaikan tersebut sudah pasti tembolok rakyat bakal semakin terjerut lagi.

Hanya disebabkan kenaikan harga petrol sebanyak tiga puluh sen enam bulan lalu mengakibatkan seluruh barang keperluan mencanak naiknya hinggakan harga tepung gandum turut dilonjakkan dari RM 1.80 kepada 2.80 beberapa minggu lalu, apakah dengan kenaikan harga petrol dan gas awal tahun nanti kesemua barang keperluan rakyat boleh dikekang untuk tidak mendadak lagi?

Bertolak dari kenaikan harga petrol enam bulan lalu juga boleh dikatakan setiap rakyat bawahan dibayangi kehidupan serba suram. Bagaimana pula jadinya bila harga bahan tersebut terus melonjak lagi?

Khabarnya kerana mahu memastikan kadar tol tidak dinaikkan maka kerajaan harus membayar ratusan juta ringgit kepada pemilik konsesi lebuhraya. Dan tentulah kesannya kantung simpanan negara bakal dirobek sementara menanti waktu sesuai untuk tetap dinaikkan di masa mendatang.

Resah rakyat semakin tenat sejak berlalunya musim perhimpunan Agung Umno awal November lalu kerana sewaktu menggulung perbahasan Abdullah sekadar menyatakan bahawa beban subsidi terhadap kos minyak dan petrol tidak mungkin termampu ditanggung lagi oleh kerajaan.

Tiada jaminan langsung dari cucu ulamak ini memberi ketegasan tidak akan berlaku kenaikan harga minyak dan petrol. Dalam erti kata lain tunggu sahajalah nanti pengumuman rasmi dari kerajaan berhubung kadar baru kenaikan harga minyak yang sudahpun dianggarkan oleh kalangan pengampu Abdullah sekadar tiga puluh sen sahaja naiknya.

Perlu diingat, jika benar ramalan kenaikan harga minyak sebanyak tiga puluh sen ia membawa erti bagi setiap sepuluh liter petrol dan disel yang dibeli pengguna harus membayar tambahan sejumlah tiga ringgit dan kesannya kos pengangkutan pasti akan naik lagi. Dengan kenaikan tersebut maka keseluruhan harga barang di pasaran bakal turut mencanak naiknya.

Lebih malang lagi jika tariff elektrik dan bil air juga turut dinaikkan di mana berita ke arah kenaikan tersebut sudahpun dijelmakan dua bulan lalu. Yakinlah rakyat bakal terus dihimpit badai kehidupan serba sukar menjelang kehadiran tahun 2008 kerana dari laporan berita yang tersiar petang tadi Gabenor Bank Negara Tan Sri Zetti Akhtar Aziz sekadar menyatakan ramalan simpanan rezab negara kian bertambah dengan petunjuk ekonomi begitu memberangsangkan.

Sebaliknya tiada pula jaminan bakal terhentinya kenaikan harga barang keperluan di pasaran untuk masa-masa mendatang.Malahan Abdullah Ahmad Badawi sendiri tidak sedikitpun memberi jaminan secara jelas dan nyata.

Kenyataan Timbalan Menteri Pertanian untuk mengkaji semula pemberian subsidi minyak diesel kepada lebih 80,000 nelayan pantai harus dilihat sebagai petunjuk awal semakin hampirnya kita untuk menghadapi kenaikan harga minyak dan petrol. Hanya waktu sahaja yang menentukannya.

Rencam kehidupan rakyat yang semakin sesak sejak akhir-akhir ini tidak sedikitpun dicari upaya oleh Abdullah Ahmad Badawi bersama sidang wazirnya penyelesaiannya. Belum terdengar sebarang cadangan secara “holistik” atau menyeluruh untuk dijadikan formula dalam usaha membasmi kerakusan kaum kapitalis menaikkan harga barang.

Kembali menyentuh tentang kenaikan kadar tol seperti yang diumumkan oleh Samy Vellu hari ini, cuba hayati dengan teliti bagaimana pemikiran rakyat cuba dikelirukan oleh sidang wazir pembodek tersohor dengan menyatakan laluan kedua Singapura Malaysia tetap dinaikkan kerana tidak ramai menggunakannya di mana sejumlah RM16,000 kenderaan sahaja sehari.

Jika dihitung jika kadarnya satu ringgit ini bererti setiap hari syarikat konsesi pengendali lebuhraya berkenaan bakal mengutip sejumlah RM16,000 dan jumlah sebulan tidak kurang dari RM480,000. Ertinya untuk satu tahun jumlah kutipan adalah sebanyak RM5,760,000.00. Bagaimana pula kutipan di Tol Sungai Besi, Damansara, Sungai Buluh dan beberapa kawasan lain?

Datuk Shahrir Samad sudahpun mencadangkan agar kerajaan mengambilalih syarikat konsesi tol tetapi kenapakah saranan tersebut ditolak? Aneh dan agak melucukan. Kenapakah syarikat Petronas milik kerajaan tidak digunakan untuk tujuan tersebut? Seandainya kesemua lebuh raya di negara ini diambil semula oleh pihak pemerintah kita amat berkeyakinan persoalan kadar kenaikan tol pasti dapat dikawal agar tidak berterusan membebankan rakyat pembayar cukai.

Begitulah cara Abdullah mentadbir negara, idea dan cadangan yang menguntungkan rakyat akan disisihkan tetapi jika ia menguntungkan kaum kerabat serta kroni di sekeliling pasti segera dilaksanakan. Beginilah untung nasib rakyat di era kepimpinan hadhari. Sewaktu awalnya menjelma sebagai Mr.Clean untuk tidak hidup berpoya-poya dan mengumpul harta bertimbun, tetapi bila kuasa diperolehi sepenuhnya dia bertukar menjadi “vacuum cleaner” ghairah menyedut apa sahaja ke dalam temboloknya. Fikir-fikirkanlah!

Tiada ulasan: