PM belanja RM 3.26 juta untuk lawatan ke luar negara – KeADILan
Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Sumber lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Suara KeADILan mendedahkan di antara 1 Januari 2007 hingga 22 Ogos 2007, sejumlah RM3.26 juta telah dibelanjakan untuk membiayai lawatan rasmi Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke luar negara.
Kata laporan itu, maklumat tersebut diperolehi dari Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, dalam pertanyaannya kepada Dewan Rakyat penggal Parlimen yang lalu.
Wan Azizah juga telah bertanya tentang menteri-menteri yang telah mengikuti Perdana Menteri dalam lawatannya ke Eropah bulan Jun yang lepas.
Menurut jawapan yang diberi, semasa lawatan ke Russia, Perdana Menteri telah diiringi oleh tiga orang menteri Kabinet, seorang Menteri Besar, seorang Ketua Menteri, dan dua orang Timbalan.
Antaranya, Menteri Luar Negeri, Syed Hamid Albar; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Seri Jamaluddin Jarjis; Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin; Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob; Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Zainal Abidin Zin dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Di Bosnia dan Herzergovina, PM diiringi oleh tiga orang Menteri Kabinet, dua orang Menteri Besar dan dua orang Timbalan
Antaranya, Menteri Luar Negeri; Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S Samy Vellu; Menteri Penerangan; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali; Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pertahanan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Lawatan PM ke Itali pula diiringi oleh empat Menteri Kabinet, dua orang Menteri Besar dan seorang Timbalan Menteri, antaranya Menteri Luar Negeri; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Penerangan; Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama, Mohammad Hassan dan Timbalan Menteri Pertahanan.
Menteri Luar Negeri mendakwa bahawa semua ahli rombongan yang dibiayai perjalanan mereka dengan wang rakyat ini relevan kepada skop kerjasama antara bidang yang mereka wakili dan negara yang berkaitan. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan