HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 November 2007

Penipuan pilihan raya: Rashid pembohong besar – Nuridah

Saidah Hairan

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman meletakkan jawatan segera berhubung apa didakwanya pembohongan besar beliau dalam kenyataannya dalam satu sidang akhbar di pejabat SPR, semalam.

Dalam sidang akhbar tersebut, Rashid mendakwa belum ada siapa dan pihak tampil dengan bukti penipuan pilihan raya selama ini.

Merujuk dakwaan itu, Nuridah menegaskan, itu suatu penipuan kerana sudah banyak kali PAS menghantar memorandum selain mengadakan pertemuan dengan Rashid berhubung ketidak-telusan perjalanan pilihan raya.

Tidak cukup itu kata beliau, Lajnah Undang-Undang PAS juga telah membuat petisyen berhubung peristiwa di Pengkalan Pasir, Kelantan.

Begitu juga dengan tambahan waktu mengundi selama satu jam di negeri Selangor ketika pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004.

"Mahkamah telah putuskan tambahan waktu itu salah dan ini merupakan salah satu ketidak-bijaksanaan dan ketidak-telusan SPR dalam mengendalikan perjalanan pilihan raya," tegas beliau.

Nuridah turut menyentuh perhimpunan aman 100,000 rakyat yang bukan dibuat secara tergesa-gesa tetapi dilaksanakan setelah semua memorandum yang dihantar kepada SPR tidak dipedulikan.

Justeru, katanya, PAS dan parti pembangkang lain serta NGO bersatu untuk mempersembahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November lalu.

Katanya, rakyat berhak mempersembahkan bantahan itu kepada Yang di-Pertuan Agong sebab rakyat berada di bawah naungan Tuanku.

Beliau mempersoalkan mengapa baru sekarang Rashid mengatakan rela meletakkan jawatan jika ada pihak yang tampil dengan bukti penipuan.

"Sepatutnya Rashid sudah lama meletakkan jawatan sejak pilihan raya tahun 2004, kenapa mesti tunggu sekarang," soalnya.

Beliau yang menyertai pertemuan AJK PAS Pusat diketuai Presiden dengan Rashid pada Isnin, 5 November lalu, di pejabatnya menegaskan, Rashid mengakui Akta Pilihan Raya adalah untuk memenangkan pemerintah.

Katanya, Rashid sebagai Pengerusi SPR begitu pandai bermuka-muka dan telah melakukan pembohongan besar. - lanh

Tiada ulasan: