Intelektual beri amaran 'kegilaan media BN' menjelang pilihanraya
Oleh Wartawan KLpos.com
KUALA LUMPUR: Cadangan pihak tertentu untuk menggadakan kembali 'kempen boikot media' mendapat sokongan daripada kolumnis popular media alternatif, Rustam A Sani. Beliau dalam tulisan terbarunya bertajuk 'Tiba masanya boikot media dilancarkan semula' memberi amaran kepada pihak yang mahukan pilihanraya bebas supaya bersiap sedia bagi menghadapi serangan dari jentera propaganda dan putar belit maklumat yang akan digerakkan pada waktu pilihanraya nanti.
Menurut Rustam, yang pernah mengetuai kempen serupa pada tahun 1999, situasi penggunaan media secara tidak beretika pada waktu kempen pilihanraya itu sebagai suatu “kegilaan". Dan kegilaan ini akan berulang lagi sewaktu pilihanraya yang akan datang – semakin terdesak pihak kerajaan maka akan semakin tenatlah “kegilaan” tersebut," kata beliau dalam tulisannya di akhbar Siasah.
Berhujah lanjut, katanya, situasi tersebut kerana oleh kerana orang yang paling berpengalaman dalam melaksanakan kegilaan ini dalam kerangka sebuah syarikat akhbar, yakni Utusan, kini sudah menjadi Menteri Penerangan maka dapatlah dijangkakan bahawa liputan kegilaan itu akan menjadi lebih luas lagi – meliputi semua media cetak dan eletronik yang dikuasai pemerintah maupun parti-parti politik BN.
KLpos.com sebelum ini memetik sumber mengatakan usaha sedang dibuat untuk melancarkan semua kempen boikot media dengan diketuai oleh PAS.
Tetapi dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar berkata pihaknya masih belum sampai ke tahap 'memboikot media' namum membayangkan bersedia berbuat demikian jika keadaan 'memaksa'
Kesedaran politik dan etika demokrasi
Kata Rustam, tujuan persediaan (baca: boikot) itu sebenarnya bukanlah sekadar untuk “melawan” jentera propaganda kerajaan itu secara partisan, tetapi juga sebagai suatu langkah untuk melaksanakan pendidikan politik dan etika demokrasi di kalangan rakyat dan para pengundi di negara ini.
"Jika upaya dan usaha melakukan “spin” berita dan maklumat merupakan pendekatan utama jentera propaganda pemerintah, maka kita mestilah pula bersedia dengan teknik dan kebijaksanaan despin kita pula – untuk menelanjangi kepada rakyat apakah maksud dan niat jahat di sebalik spin mereka itu," katanya yang diiktiraf sebagai pemikir Gerakan Reformasi.
Kempen “boikot media” yang demikian itu sebenarnya sudah pernah dilakukan pada tahun 1999 dahulu dan hasilnya, cukup memberangsangkan.
"Sebagai hasil inisiatif tersebut, jumlah edaran akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times telah merudum.
"Sebaliknya pula, akhbar-akhbar parti pembangkang dan beberapa penerbitan bebas lainnya, seperti Harakah, Detik dan sebagainya, telah mengalami peningkatan edaran yang belum pernah dialami sebelum ini – sehingga pihak kerajaan terpaksa bertindak mengurangkan kekerapan penerbitannya," katanya.
Pengalaman BOIKOT MEDIA 1999
Menurut Rustam, kempen pada tahun 1999 itu telah dilaksanakan oleh Barisan Alternatif dengan mendapat sokongan daripada sejumlah NGO.
"Atas pertimbangan dan kebijaksanaannya sendiri, DAP tidak menyokong secara rasmi kempen boikot media itu, tetapi beberapa tokoh pemimpinnya (seperti Ronnie Liu) senantiasa menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh jawatankuasa yang melaksanakan kempen tersebut.
"Selain itu, sewaktu pilihanraya tahun 1999 itu pihak BA juga turut mengadakan program-program tertentu bagi “membilas” tindak tanduk media BN.
"Misalnya, pihak BA menggerakkan sebuah pusat maklumat bersama yang bertindak menangani sebarang bentuk misinformation yang disebarkan pihak BN dan mengadakan sidang media setiap pagi untuk keperluan media tempatan maupun antarabangsa," kata beliau.
Jelasnya lagi, dengan pengalaman penyelarasan yang telah diperolehi daripada upaya menganjurkan perhimpunan rakyat 10 November baru-baru ini oleh pihak parti-parti pembangkang dan Bersih, inisiatif tahun 1999 itu bukan sahaja dapat diulang malah dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi kali ini.
"Selain itu perkembangan maklumat yang terdapat hari ini bukan sahaja akan membolehkan kempen memboikot media dilaksanakan tetapi juga usaha melawan dan menelanjangi sebarang bentuk misinformation yang akan cuba disebarkan melalui media terpasung yang dikuasai pihak pemerintah akan dapat dilakukan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan