HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 November 2007

Penyelewengan pilihan raya, Anwar cabar PM cakap benar!

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi agar bercakap benar dalam melayani isu penyelewengan dalam pilihan raya di negara ini.

Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur semalam, Anwar membidas kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa pilihan raya di negara ini berjalan secara adil.

Bagi Anwar, sesuatu yang mustahil jika Perdana Menteri atau Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tidak mengetahui mengenai perjalanan pilihan raya di negara ini.

"Saya mencabar Abdullah supaya bercakap benar mengenai pilihan raya di dalam negara kita dan bukannya berterusan bercakap bohong," katanya.

Anwar juga melahirkan rasa kecewa dengan sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mengambil perhatian kepada pelbagai bukti yang diserah KeADILan mengenai penyelewengan pilihan raya.

Menurut Anwar, meskipun pelbagai bukti telah diserahkan namun badan yang seharusnya menjaga soal integriti, ketelusan dan kebebasan dalam pilihan raya itu sedikitpun tidak melihat aduan tersebut.

"Kita telah memberi kepada SPR beberapa tahun lalu senarai pemilih yang tidak sama, pemindahan pengundi, senarai pengundi pos, senarai pengundi mati tetapi masih mengundi.Tetapi apa yang SPR buat kepada bukti-bukti yang diberikan diberikan oleh pembangkang termasuk KeADILan," ujarnya.

Dalam sidang media yang sama, Anwar juga mengumumkan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara parti pembangkang di kawasan bertindih sedang berjalan dan dijangka selesai tidak lama lagi.

Pembahagian tersebut kini mencapai peringkat akhir dan jumlahnya tidak banyak dan membabitkan dua atau tiga negeri sahaja, kata Anwar.

Rundingan pembahagian kerusi KeADILan diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Tan Sri Khalid Ibrahim, dibantu Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub; Ketua Penerangan, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT), Johari Abdul. - mks.

Tiada ulasan: