HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 November 2007

'Rasuah politik' disaran ganti istilah 'politik wang'

KUALA LUMPUR: Umno bercadang menggunakan istilah rasuah politik bagi menggantikan istilah politik wang bagi menekankan tentang keburukan amalan itu di kalangan ahlinya, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Pindaan Perlembagaan Umno berkata penggunaan istilah rasuah politik dilihat mempunyai impak yang lebih besar.

"Jawatankuasa saya memikirkan istilah rasuah politik lebih jelas kerana terdapat elemen rasuah yang ditekankan. Kalau guna istilah politik wang orang akan anggap ia satu amalam politik, tetapi kalau guna rasuah politik kesannya lebih besar dan meletakkan ahli-ahli dalam keadaan lebih berjaga-jaga bagi mengelakkan amalan yang boleh dianggap sebagai rasuah.

"Ia juga mengelakkan mereka daripada melakukan benda-benda yang boleh menyebabkan mereka dihadapkan ke muka Lembaga Displin Umno," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di rumahnya di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata cadangan pengunaan istilah baru itu akan dibentangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Terpulang kepada MT sama ada mahu mengekalkan istilah politik wang atau mengunakan istilah baru rasuah politik yang lebih meluas tafsirannya dan mempunyai kaitan dangan fakta rasuah, katanya.

Beliau berkata perkara itu termaktub dalam pindaan tataetika bagi ahli Umno yang sudah siap dan akan dibentangkan tidak lama lagi tuntuk kelulusan MT. BERNAMA

Tiada ulasan: