HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 November 2007

PBT bukan milik kerajaan Selangor

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR . – Kerajaan negeri Selangor telah melanggar sempadan pentadbiran yang bukan dalam bidang kuasanya apabila menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, PBT bukan agensi di bawah kerajaan negeri, sebaliknya terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan iaitu di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri tidak wajar memberikan penyapu kepada agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan kerana PBT bukan ‘hak mutlak’nya.

Menurut Rais, pemberian penyapu itu mengaibkan penerimanya lebih-lebih lagi diberi kepada penjawat awam di hadapan khalayak ramai.

‘‘Selain itu, penyapu juga adalah sinonim dengan perkara negatif seperti kotor dan sial di kalangan masyarakat Malaysia,’’ kata Rais pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Turunnya Sebuah Bendera karya Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang di sini hari ini.

Buku setebal 138 muka surat itu menampilkan himpunan 18 buah cerpen Sasterawan Negara tersebut yang berkisar mengenai kehidupan kaum Melayu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Rais berkata, pemberian penyapu adalah sesuatu yang baru dalam budaya Malaysia. Katanya, Kerajaan Persekutuan sendiri belum pernah memberikan penyapu bertujuan meningkatkan prestasi agensi dan jabatannya.

Katanya, anugerah itu sudah tentu mengaibkan tidak kira apa tujuannya.

‘‘Banyak lagi usaha lain yang boleh dilakukan untuk menggalakkan peningkatan prestasi kerja penjawat-penjawat awam termasuk melalui cara pemberian markah,’’ ujarnya.

Justeru, Rais meminta agar pemberian penyapu tidak dilakukan lagi walaupun sebagai simbolik meminta jabatan-jabatan dan agensi kerajaan bekerja dengan lebih baik.

Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) atas alasan kedua-dua badan itu gagal mengutip hasil cukai dengan cemerlang.

Tiada ulasan: