HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 November 2007

RM1 juta untuk pilihan raya, BPR digesa siasat Khir Toyo

M Khaleel Kas

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) hari ini menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk segera menyiasat Kerajaan Negeri Selangor dan Barisan Nasional (BN) Selangor di bawah pimpinan Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mengumumkan peruntukan RM 1 juta daripada kerajaan negeri kepada Jentera Pilihan raya Wanita Barisan Nasional Selangor sebagai persediaan menggerakkan jentera pilihan raya sempena menghadapi pilihan raya Umum yang akan datang.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Mohd Sany Hamzan, tindakan ini jelas merupakan penyalahgunaan wang kerajaan negeri yang secara jelas merupakan satu kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan raya 1954 dan Khir perlu disiasat oleh BPR dan didakwa di bawah akta tersebut.

"DPPNS ingin menegaskan bahawa wang kerajaan negeri merupakan wang daripada hasil kutipan cukai rakyat Selangor dan peruntukan-peruntukan daripada wang tersebut mestilah diberikan mengikut peraturan yang ditetapkan, seperti kepada projek-projek yang memberikan kepentingan kepada rakyat dan bukannya disalahgunakan kepada mana-mana parti politik termasuk parti pemerintah untuk menggerakkan jentera pilihan rayanya,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, Pemuda PAS Selangor menggesa Ketua Pengarah BPR, Dato' Seri Ahmad Said Hamdan mengarahkan BPR Negeri Selangor memulakan siasatan terhadap Khir dan kepimpinan BN Negeri Selangor yang lain terhadap salah laku ini.

"Kami mengharapkan agar pihak BPR tidak bersikap pilih kasih terhadap kes-kes penyalahgunaan wang dan kuasa seperti oleh kepimpinan Umno dan BN namun bertindak dengan begitu pantas dan cemerlang sekali apabila adanya dakwaan rasuah di media yang melibatkan kepimpinan pembangkang sepertimana yang berlaku kepada Menteri Besar Kelantan sebelum ini.

"Sikap BPR amat dikesali kerana tidak meneruskan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah yang melibatkan Khir Toyo seperti pernah dilaporkan kepada BPR oleh beberapa pihak termasuklah Gerakan Anti Rasuah dan Korupsi (Gerak) dan beberapa individu sebelum ini,"tambahnya lagi.

Beliau juga menegaskan, bahawa bidang kuasa BPR mesti diletakkan di bawah Yang di-Pertuan Agong supaya BPR mempunyai kuasa penuh untuk mendakwa pemimpin-pemimpin tertinggi politik yang terlibat rasuah yang mana seringkali pendakwaan hanyalah melibatkan pegawai-pegawai kerajaan sementara pemimpin politik selalunya akan terlepas daripada pendakwaan dan mereka terus bebas melakukan jenayah tersebut.

Oleh itu katanya, Barisan Nasional Selangor perlu diingatkank bahawa wang kerajaan negeri adalah wang rakyat yang membayar cukai, termasuk juga wang mereka yang tidak menyokong Barisan Nasional dan rakyat tidak sanggup melihat wang mereka digunakan untuk membantu jentera parti yang tidak mereka sokong dan mengharamkan wang ini daripada digunakan oleh jentera BN.

"Sebagai seorang yang beragama Islam, Khir perlu menginsafi bahawasanya perbuatan menyalahgunakan wang rakyat merupakan satu dosa dan kezaliman yang akan dihitung di hadapan Allah SWT kelak.

"Kami menyeru semua rakyat Selangor mendoakan balasan terhadap kezaliman ini dan menilai kembali sokongan mereka kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang,"tegasnya lagi. - mks.

Tiada ulasan: