Anggota polis dakwa ibu bapa Sharlinie cuai.
Saidah Hairan.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Seorang anggota polis menyalahkan ibu bapa Sharlinie Mohd Nasar, 5, kerana cuai menjaga kanak-kanak tersebut sehingga diculik dan tidak dapat dikesan kehilangannya.
Polis wanita tersebut bercakap dengan wartawan Harakah ketika ditanya tentang kehadiran polis yang ramai dalam perhimpunan aman anjuran Protes menentang kenaikan harga barangan di hadapan KLCC, jam 3 petang tadi.
Ketika diberitahu bahawa anggota polis memang diarah menggagalkan perhimpunan itu, wartawan Harakah menyatakan pandangan bahawa jika jumlah polis yang sama dikerah untuk mencari Sharlinie, kemungkinan besar kanak-kanak itu ditemui kembali.
Polis wanita itu yang pada awalnya tergamam dengan kenyataan itu kemudiannya menjawab: "Itu memang salah dia... salah emak bapa dia..."
Setelah menyedari bercakap dengan wartawan, beliau terus menghilangkan diri.
Dalam masa yang sama, pihak polis bertindak keras menangkap sesiapa saja peserta perhimpunan aman yang memakai baju-T, baju, tudung atau membawa alat-alat berwarna kuning.
Bermula jam 2.45 petang, empat anggota Unit Amal Wangsa Maju telah ditangkap di hadapan Suria KLCC dan terus dimasukkan ke dalam trak polis.
Tangkapan kemudiannya dilakukan secara rambang terhadap peserta perhimpunan.
Sementara itu, seorang wanita berbangsa India pengsan terlanggar tiang besi di hadapan Avenue K kerana ditolak oleh anggota polis yang cuba meleraikan peserta himpunan.
Kelihatan Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berada di tempat kejadian.
Pihak polis mengarahkan peserta bersurai dan beberapa minit kemudian Nuridah dan suaminya, Mohd Azmi Azman Johari ditahan.
"Polis suruh kak Nuri bersurai, kak Nuri tak berkumpul, kak Nuri cakap dengan polis, encik saya berdiri seorang; encik ikut saya... lepas itu polis terus tangkap kak Nuri dengan Azmi," katanya ketika dihubungi menerusi telefon bimbit.
Nuridah sempat berkata kepada anggota polis yang mengarahkan beliau bersurai: "Apa hak kami sebagai rakyat Malaysia untuk menyuarakan bantahan, cuba encik bagi pandangan."
Anggota polis itu bagaimanapun menjawab mereka hanya menurut arahan.
"Kita kena berjuang mendapatkan hak kita dan mudah-mudahan rakyat akan sedar dan bangkit berani bersuara ke jalan raya, sehingga mampu mengubah kerajaan yang bersifat kuku besi. Jika kita takut generasi akan datang akan tetap ditindas oleh kerajaan yang zalim ini," tegas Nuridah.
Beliau mengingatkan rakyat bahawa generasi sekarang perlu 'menebas jalan' untuk memberi jalan kepada generasi akan datang.- tajdid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan