HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Januari 2008

Bas dicuri geng budak sekolah.
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE dan NORHAYATI YAHAYA.



JOHOR BAHRU – Sekumpulan budak sekolah curi bas untuk bersiar-siar.

Itulah alasan yang diberikan oleh sekumpulan lapan remaja berusia lingkungan 11 dan 14 tahun yang ditahan ketika berada dalam kenderaan yang dicuri mereka dari Taman Universiti di Skudai di sini, pukul 4 pagi semalam.

Seorang daripada mereka merupakan remaja perempuan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, sebelum mereka ditahan, polis menerima maklumat orang ramai yang menghalang sebuah bas yang sedang dipandu sejauh 100 meter dari tempat ia diletakkan.

Menurut beliau, polis kemudiannya menghantar sepasukan polis dan dapat menahan kesemua yang berada di dalam bas tersebut.

“Mereka cuba melarikan diri dengan meninggalkan bas tersebut tetapi dapat ditangkap oleh polis,” kata beliau.

Ruslan memberitahu, mengikut siasatan bas tersebut dipandu seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang masih belajar.

“Kita sedang menyiasat motif kumpulan tersebut mencuri bas sama ada sekadar untuk bersuka ria atau mereka mempunyai sebab yang lain,” kata beliau.

Ujar Ruslan, enam daripada mereka masih bersekolah manakala dua lagi telah dibuang sekolah.

Katanya, nasib baik semasa memandu bas itu, tidak ada kemalangan berlaku.

Mereka yang ditahan bebas alkohol dan dadah serta tidak ada antara mereka yang mempunyai rekod jenayah.

Kesemua mereka masih ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: