Kemelut dalam Karyawan masih belum selesai.
Oleh NURUL AIN HUSSAIN.
SATU lagi tamparan hebat terhadap Presiden Persatuan Karyawan, Freddie Fernandez bilamana lima orang bekas ahli jawatankuasa (AJK) Karyawan mengambil keputusan melaporkan kes penyelewengan dana persatuan tersebut kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam.
Antara bekas AJK yang hadir memberi kenyataan kepada pegawai penyiasat BPR di Putrajaya adalah, Datuk Aziz Sattar, Betty Banafe, Chef Yang Jamil, Zieman, A.Wahid Nasir dan dua orang bekas pekerja di pejabat Karyawan.
Apa yang jelas, tindakan tersebut merupakan susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh sebahagian bekas AJK Karyawan terhadap kes penyelewengan yang berlaku sejak setahun yang lalu.
Menurut Datuk Aziz Sattar, Bekas Biro Artis Veteran Karayawan, “Laporan kepada BPR ini diambil kerana kami merasakan wujudnya penyelewengan dana persatuan Karyawan sejak setahun yang lalu”.
“Semua bekas AJK Karyawan yang hadir hari ini hanya memberi kenyataan kepada BPR, dan kes ini bakal disiasat secara terperinci oleh pihak BPR dalam masa terdekat.
“Jadi kami tidak boleh memberi penjelasan lanjut terhadap laporan yang kami laporakan kepada BPR hari ini. Semuanya masih diperingkat siasatan,” jelas Aziz mewakili bekas AJK Karyawan.
“Apa yang kami harapkan kemelut yang melanda Karyawan ini akan dapat diselesaikan BPR secepat mungkin. Kalau boleh saya hendak malam ini tapi, tapi saya tahu BPR ada prosedur tertentu dalam menyiasat kes ini,” tambah Aziz lagi.
Pak Aziz turut menyangkal dakwaan Freddie yang mengatakan dia diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu. “Saya masih waras dan mampu berfikiran rasional, apa yang saya dengan bekas AJK Karyawan lakukan hari ini adalah kerana kami sayangkan persatuan,”.
“Kami tak mahu maruah Karyawan tergadai hanya kerana seorang bekas Pengurus Projek yang memporak peranda dan mempergunakan nama Karyawan sewenang-wenangnya.
Sebab itu kami tampil untuk membuat laporan kepada BPR Biarlah BPR yang
meyelesaikannya,” kata Aziz setelah memberi kenyataan kepada BPR bersama bekas AJK Karayawan yang lain.
Kenyataan Aziz itu lantas ditambah oleh Betty Banafe, bekas Biro Ekonomi Karyawan, Menurutnya, “BPR akan mendapatkan maklumat terperinci daripada AJK mahupun bekas pekerja Karyawan mengenai akaun dan laporan kewangan Karyawan,”
Kata Betty lagi, “Apabila kami ajukan mengenai laporan kewangan dan akaun Karyawan, Freddie seolah-olah bersikap lepas tangan apabila kami timbulkan masalah ini, sedangkan kami hanya mahukan ketelusan itu sahaja,”.
“Dia tidak mahu membentangkan laporan kewangan kepada AJK Karyawan sendiri. Dan saya rasa ini salah dari segi perlembagaan apa-apa persatuan sekali pun,” ulas Betty.
“Bukan kami yang tak mahu selesaikan masalah ini secara elok, tapi pihak satu lagi yang tak mahu selesaikannya. Kami pernah buka peluang untuk selesaikannya di meja perbincangan tapi ia tidak diendahkan.
Jadi bila sudah sampai ke tahap ini memang keadaan sudah tidak boleh diundurkan kembali,” kata Betty yang menjadi AJK ke-9 meletak jawatan dalam Karyawan.
Dari persoalan pemberian komisyen 30 peratus dalam setiap projek, persoalan gaji tetap sebanyak RM1500 hinggalah penghinaan yang dilemparkan Azmi Mohd Nor, bekas Pegurus Projek Karyawan kepada bekas pekerja mahupun AJK Karyawan seperti Aziz Sattar, semuanya bakal disiasat oleh BPR.
“Apa yang saya lihat Karyawan yang wujud pada hari ini lebih bersifat komersil dan menyimpang dari matlamat asal penubuhannya yang mahu memperjuangkan hak setiap ahli Karyawan,” ulas Betty dalam nada kecewa.
Yang Jamil luah kekecewaan terhadap Karyawan
Menurut Chef Yang Jamil, bekas Biro Chef Karyawan “Apa yang dapat saya lihat setiap ahli yang menyertai Karyawan pada hari ini ada kepentingan mereka tersendiri.
“Saya tak berniat menunding jari kepada sesiapa, terhadap kemelut yang berlaku tetapi ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang terjadi,” kata Jamil.
“Mungkin ada pihak yang bakal memandang serong kepada saya. Tapi bila dalam mesyuarat saya beri cadangan untuk memperbetulkan keadaan, ia tidak diendahkan, saya memang kecewa,” luah Jamil lagi.
“Setiap ahli yang dilantik ini memegang amanah dan membawa usul yang dikemukakan oleh ahli yang lain.
Jadi saya rasa amanah itu yang perlu diketengahkan dalam mesyuarat dan kebajikan ahli perlu diutamakan bukan orang luar,” luah Jamil dalam nada penuh kekecewaan.
“Lebih memilukan ada di antara ahli Karyawan tidak bersatu hati, seolah berpuak-puak dan membawa haluan sendiri, sedangkan mereka patut bersikap jujur dalam persatuan,” kata Jamil.
“Jika di lihat Karyawan setahun yang lalu lebih mesra dan besifat kekeluargaan di antara ahli-ahli nya. Namun kini semuanya sudah tiada sejak kemasukan Azmi,” kata Jamil lagi yang juga seorang chef masakan popular.
Apa yang difahamkan, satu mesyuarat di antara Presiden Karyawan, Freddie Fernandez bersama Datuk Aziz Sattar beserta sembilan orang bekas AJK Karyawan yang telah meletakkan jawatan akan diadakan pada 5 Februari ini. Mesyuarat tersebut bakal membincang dan menyelesaikan kemelut yang melanda Karyawan sejak setahun yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan