HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Januari 2008

Keputusan eksperimen di ISS diketahui dua bulan lagi.



KOTA BAHARU: Eksperimen yang dijalankan angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISs) dijangka diperolehi dalam tempoh dua bulan lagi.

Eksperimen yang dijalankan Dr Sheikh Muszaphar melibatkan tiga komponen penting iaitu sel kanser serta sel mikrob (bakteria) dan penghabluran protein.

"Ia menampakkan keputusan positif tetapi memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan hasil yang konklusif. Keputusan itu juga mungkin diterbitkan untuk manfaat masyarakat antarabangsa dan untuk kebaikan manusia sejagat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed menyampaikan Amanat Tahun Baru 2008 kepada kira-kira 2,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta di sini, hari ini.

Dr Sheikh Muszaphar turut menceritakan pengalaman beliau semasa berada di angkasa lepas dan mengadakan sesi soal jawab kira-kira sejam dengan pelajar berkenaan.

Eksperimen lain yang dijalankan termasuk bermain gasing dan "yoyo" lebih kepada menarik minat terutama generasi muda untuk mempelajari sains dan memupuk minat dalam bidang aeroangkasa.

"Saya harap dapat melihat lebih ramai angkasawan dilahirkan di negara kita, pada saya tidak penting jika ada yang ingin pertikaikan hasil kajian saya semasa di angkasa," katanya.

Beliau berharap Kementerian Pelajaran dapat mewujudkan kelab astronomi peringkat sekolah bagi menarik minat golongan muda terhadap bidang itu khususnya murid sekolah rendah. BERNAMA

Tiada ulasan: