HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2008

Dividen KWSP: Jangan terpedaya dengan helah BN.
Azamin Amin.


KUALA LUMPUR (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyifatkan pembayaran dividen sebanyak 5.8 peratus pada tahun ini oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu helah dan strategi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sungguhpun ianya merupakan satu berita baik namun rakyat khususnya pencarum KWSP dinasihatkan supaya berhati-hati dengan manipulasi ini dan jangan berpuas hati dengan kadar yang tersebut sedangkan mereka berhak mendapat yang lebih tinggi jika KWSP tidak diselewengkan.

Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan medianya kepada Harakahdaily semalam.

"Kita mengingatkan kerajaan BN supaya tidak mengambil kesempatan daripada peningkatan dividen ini untuk mengelirukan rakyat atau menyalahgunakan dana rakyat untuk kepentingan kroni," katanya.

"Kita juga menyedari BN melalui KWSP sengaja membayar dividen yang tinggi iaitu kurang 0.2 peratus daripada sasaran MTUC sebagai satu strategi pilihan raya," katanya

Beliau berkata peningkatan dividen ini menggambarkan kecekapan pengurusan KWSP, pelaburan yang berkesan dan pengurusan dana kewangan yang baik.

Tetapi mungkin hakikat sebenar tidak begitu kerana telah diketahui umum dana dan pelaburan KWSP seringkali dipengaruhi oleh kepentingan kroni BN, katanya.

"Kali ini BN sengaja membayar dividen yang tinggi supaya rakyat merasa senang hati selepas kenaikan harga barang, selain menambahkan keyakinan rakyat terhadap BN.

"Ini adalah manipulasi BN terhadap keuntungan yang diperolehi oleh rakyat untuk memaksa mereka melupakan kezaliman dan penindasan BN selama ini," katanya dalam kenyataannya tersebut.

Dalam kenyataan itu juga Salahuddin mendakwa KWSP adalah antara dana awam yang sering disalahgunakan untuk membiayai projek-projek ini sekaligus mengisi dana pilihan raya mereka.

Katanya rakyat jangan terlalu gembira dengan dividen 5.8 peratus ini kerana KWSP sendiri hampir-hampir bangkrap ekoran 'bail-out' besar-besaran oleh Kerajaan BN ke atas kroni-kroni mereka semenjak 1998.

"Dana awam ini sengaja disalahgunakan untuk kepentingan sempit mereka. Jika tidak kerana disalahgunakan, mungkin kadar 5.8 peratus ini patut dinikmati semenjak akhir 1990-an lagi.

"Tetapi ia hanya berlaku 10 tahun kemudian, itupun kerana pilihan raya. Kemungkinan rakyat boleh menikmati kadar dividen yang mencecah 10 peratus pada dua tahun ini jika dana tidak diselewengkan untuk kroni," katanya. - mks.

Tiada ulasan: