HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Januari 2008

Polis belum terima maklumat Interpol - Musa.
Oleh: ZULKIFLI MANZOR.


KUALA LUMPUR . - Polis Malaysia masih belum menerima sebarang maklumat berhubung Sharlinie Mohd. Nashar, 5, daripada polis antarabangsa (Interpol) mahupun polis negara jiran setakat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, walaupun maklumat mengenai kanak-kanak yang diculik di Taman Medan, Petaling Jaya itu telah dimaklumkan kepada pihak berkenaan, namun ia masih belum membuahkan hasil.

Bagaimanapun, tegasnya, polis Malaysia tidak akan berputus asa untuk mengesan kanak-kanak malang tersebut walaupun Sharlinie hilang tanpa dapat dikesan sejak dua minggu lalu.

"Kita (polis) sedang menggunakan semua kaedah dan sumber yang perlu dalam usaha mengesan Sharlinie.

"Ia termasuk pemeriksaan dari rumah ke rumah dan juga penggunaan helikopter untuk mengesan kawasan yang disyaki dari udara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah-Pengarah Dan Pengerusi-Pengerusi Perkep Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Pada 17 Januari lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Mansur dipetik berkata, polis Malaysia mendapatkan bantuan Interpol terutama di sempadan negara bagi mengesan Sharlinie yang diculik di Taman Medan, Petaling Jaya.

Menurut beliau, langkah itu membolehkan polis berkongsi maklumat dengan Interpol dalam usaha mengesan suspek dan mangsa selain mengedarkan poster Sharlinie di serata tempat.

Sharlinie diculik pada 9 Januari lalu, kira-kira pukul 11 pagi ketika bersama kakaknya dalam perjalanan pulang daripada bermain di taman permainan kira-kira 200 meter dari rumahnya Taman Medan.

Tiada ulasan: