HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Januari 2008

Perlis belanja RM2 juta buat laluan kuda.



KANGAR: Laluan khas untuk kuda akan diwujudkan di Perlis bagi menyemarakkan kegiatan rekreasi dan sukan berkuda tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim Jumaat.

Katanya laluan sepanjang lebih 12 kilometer itu akan menghubungkan Kuala Perlis dan Kangar membabitkan kos lebih RM2 juta.

Bercakap kepada pemberita selepas program ziarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF) anjuran Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan (JKPKP) Perlis di sini, beliau berkata laluan di pinggir Sungai Perlis itu akan menjadi tarikan baru sektor pelancongan sukan di negeri ini.

Beliau berkata laluan khas itu adalah antara kegiatan rekreasi dan sukan berkuda yang sedang berkembang di Perlis.

Shahidan yang turut terbabit dalam kegiatan rekreasi dan sukan berkuda berharap lebih banyak penduduk Perlis menyertai kegiatan itu.

Katanya beliau juga telah mengarahkan semua wakil rakyat mewujudkan kelab rekreasi berkuda di setiap kawasan dewan undangan negeri.

"Mereka boleh gunakan kemudahan kuda yang disediakan di Pusat Latihan Ekuin Perlis kalau tidak ada kuda sendiri," katanya.

Beliau juga menggalakkan golongan mat rempit supaya meninggalkan kegiatan menunggang motosikal secara berbahaya untuk menyertai kegiatan rekreasi dan sukan berkuda.

Shahidan berkata mereka yang berkebolehan menunggang kuda boleh dipertimbangkan untuk terus berkhidmat di pusat latihan itu. BERNAMA

Tiada ulasan: