HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Januari 2008

Semakin ramai pelajar terlibat jenayah.



KUALA TERENGGANU: Bilangan pelajar sekolah yang terlibat dengan kes jenayah di negeri Terengganu pada tahun lepas dilaporkan meningkat berbanding pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata, yang paling membimbangkan ialah jumlah itu juga turut melibatkan murid sekolah yang berumur dalam lingkungan 11 hingga 12 tahun.

"Pada tahun lepas sahaja, sebanyak 122 kes jenayah indeks melibatkan pelajar sekolah dicatatkan dengan tangkapan seramai 216 yang mana 10 daripadanya merupakan murid sekolah yang berumur dalam lingkungan 11 hingga 12 tahun.

"Jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2005 iaitu sebanyak 128 kes dengan tangkapan seramai 184 orang pelajar termasuk lapan orang murid berumur 11 hingga 12 tahun," katanya selepas merasmikan Majlis Seminar Gejala Sosial Di Kalangan Remaja Wanita Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Malaysia Terengganu di sini Rabu.

Beliau berkata, seramai 147 remaja juga telah ditahan pada tahun lepas yang dikaitkan dengan 2,337 kes curi motosikal yang berlaku di negeri ini.

Selain itu, katanya pada tahun lepas juga, polis telah menahan seramai 51 pelajar sekolah dan 63 pelajar IPTA/IPTS yang didapati terlibat dengan masalah penyalagunaan dadah termasuk lima orang yang ditahan baru-baru ini mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jumlah itu, katanya mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun 2005 yang mana seramai 154 pelajar sekolah dan 88 pelajar IPTA/IPTS ditahan berhubung kes tersebut.

Katanya, walaupun peningkatan semua kes melibatkan remaja tidak berada di tahap yang membimbangkan, namun polis amat mengambil berat tentang perkara.

"Polis dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi dan sekolah akan bekerjasama untuk mengenalpasti langkah yang terbaik untuk memberi kesedaran kepada mereka bagi mengelakkan golongan ini daripada menjadi mangsa jenayah serta terlibat dengan jenayah," katanya.

Beliau berkata, polis negeri juga akan mengadakan siri ceramah dari sekolah ke sekolah dan IPTA/IPTS bagi tujuan tersebut. BERNAMA

Tiada ulasan: