Eksklusif: "Pilihanraya tahun ini" kata Pak Lah.
Oleh Wartawan KLpos.com.
Eksklusif JAUH di Davos Switzerland, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata negara ini akan mengadakan pilihan raya umum tahun ini dan yang menariknya tiada laporan mengenai kenyataan Abdullah itu dibuat oleh media Malaysia.
Kenyataan tersebut dibuat Abdullah dan dilaporkan oleh media antarabangsa Bloomberg.
Dalam wawancara di Davos itu, Abdullah, yang sedang menghadiri Forum Ekonomi Dunia, berkata 'akan ada pilihan raya' tahun ini.
Ini kali pertama beliau membuat kenyataan rasmi mengenai bila pilihan raya umum bakal diadakan. Namun, beliau tidak memberikan tarikh yang lebih tepat.
Abdullah yang baru pulang dari Davos juga dilaporkan tidak pergi menziarahi jenazah bekas Presiden Indonesia Jeneral Suharto yang akan dikebumikan pagi ini.
Beliau sebaliknya mewakilkan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai delegasi rasmi Malaysia. Sedangkan negara ASEAN lain termasuk Singapura dan Filipina menghantar pemimpin tertinggi negara masing-masing.
Apakah Abdullah terpaksa menghadiri satu perjumpaan yang amat mustahak sehingga beliau tidak berkesempatan untuk ke Indonesia hari ini?
SEMENTARA itu, sumber KLpos.com memberitahu, tarikh bubar Parlimen adalah pada pertengahan bulan Februari dan pengundian dijalankan pada minggu pertama bulan Mac.
Menurut sumber tersebut, jika tidak, Abdullah akan mengadakan pilihanraya selepas April depan.
"Tetapi masalahnya kalau selepas April suntuk sangat kerana Umno perlu mengadakan perhimpunan agungnya sebelum Julai," kata sumber terbabit.
Apatah lagi kata beliau, perhimpunan agung Umno kali ini akan diadakan pemilihan.
"Semua pemimpin Umno mahu bersedia lebih awal untuk menghadapi pemilihan parti, jadi tarikh terbaik bubar parlimen adalah Februari dan mengundi Mac," katanya.
Sebelum ini, media tempatan meramalkan pilihan raya umum Malaysia mungkin diadakan seawal Mac ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan