Aktivis siber berkempen boikot akhbar arus perdana.
Oleh SA'ODAH ELIAS.
KUALA LUMPUR: Satu kumpulan aktivis siber yang mengendalikan laman web yang dipanggil "Parlimen Rakyat" (The People's Parliament) Isnin melancarkan satu inisiatif mengajak orang ramai memboikot akhbar arus perdana.
Moderator Parlimen Rakyat Harris Ibrahim berkata usaha itu bertujuan menyedarkan tuan punya dan pengendali akhbar arus perdana bahawa rakyat tidak lagi boleh menerima apa yang didakwa beliau sebagai penipuan dan putar belit oleh akhbar-akhbar berkenaan.
Buat masa ini, katanya, inisiatif itu hanya terhad kepada setiap hari Selasa dan ia merangkumi semua akhbar tempatan termasuk akhbar berbahasa Cina dan Tamil.
Beliau mendakwa semua akhbar-akhbar tempatan, secara umumnya, terlibat dalam memutar-belitkan fakta serta kerap memaparkan berita yang kurang tepat bagi memenuhi agenda kerajaan walaupun kadarnya berbeza-beza.
"Pembeli akhbar yang membayar RM1.20 untuk akhbar mereka berhak mendapat berita yang benar dan tepat. Mereka tidak patut dihidangkan berita yang berat sebelah dan tidak seimbang," katanya pada sidang akhbar bagi melancarkan inisiatif itu.
Haris berkata sama ada usaha pihaknya itu akan berjaya mengurangkan kadar jualan dan langganan akhbar arus perdana atau tidak, ia tidak penting, kerana objektif utama inisiatif itu adalah untuk meningkatkan kesadaran masyarakat tentang hak mereka untuk mendapat berita yang betul faktanya dan yang tidak diputar-belit untuk tujuan tertentu.
Usaha berkenaan, menurut Haris lagi tiada kaitan dengan pilihan raya umum yang dijangka diadakan tidak lama lagi, sebaliknya satu usaha jangkapanjang yang mempunyai matlamat mewujudkan suasana media yang bebas, beretika dan telus di negara ini.
Ditanya pendirian beliau sekiranya usaha pihaknya itu dieksploitasi oleh parti-parti politik untuk memanjangkan agenda mereka, Haris berkata:
"Ini adalah satu usaha oleh masyarakat perihatin dan tidak melibatkan parti politik. Tetapi sekiranya ada parti politik yang ingin menggunakan usaha ini dan jika tujuan mereka bertepatan dengan aspirasi kami, kami tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mereka," tegasnya.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan media arus perdana akan diperalatkan sepenuhnya oleh parti memerintah menjelang pilihan raya umum akan datang dengan menyekat laporan-laporan mengenai pendirian dan aktiviti parti pembangkang.
Pembaca, katanya, berhak untuk mengetahui tentang pendirian alternatif dan akhbar tempatan tidak patut menyiarkan berita secara selektif kerana ia berlawanan dengan etika kewartawanan yang berpegang pada keseimbangan dalam laporan.
Mengulas jemputan yang dihantar kepada semua media arus perdana bagi menghadiri sidang media untuk mengumumkan tindakan memboikot akhbar, Haris berkata ia menunjukkan pihaknya sangat mementingkan ketelusan.
"Kita percaya media arus perdana berhak untuk tahu bahawa kita akan melancarkan inisiatif ini," jelasnya lagi.
Pada permulaan sidang akhbar, beliau sendiri telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pengarang-pengarang media arus perdana tempatan memberitahu mereka mengenai pelancaran inisiatif memboikot produk mereka pada setiap hari Selasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan