Kedudukan daya saing negara, Anwar dakwa Abdullah berbohong.
Wan Nordin Wan Yaacob.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berbohong kepada rakyat mengenai kedudukan Malaysia dalam penilaian tahap kecekapan negara yang didakwa berkedudukan nombor enam di peringkat dunia.
Anwar yang mengadakan sidang medianya di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini mendakwa kedudukan sebenar ialah pada tangga ke-23, dan baginya Abdullah telah membohongi rakyat.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Mustaffa Kamli Ayub serta pegawai-pegawai khas Anwar.
Setakat ini prestasi terbaik kedudukan kecekapan kerajaan adalah pada tahun 1997 iaitu ditangga ke 17, selebihnya merudum, kata anwar.
Beliau juga sangsi dengan kesasihan fakta yang yang dikemukakan Abdullah itu dan kajian manakah yang diambilnya bagia menyokong dakwaan tersebut.
Sambil menyifatkan ia percubaan Abdullah dan kerajaan Umno/BN menutup kelemahan sedia ada, Anwar yakin ia adalah usaha terdesak kerajaan berhadapan dengan pilihan raya umum ini.
Sementara itu, dalam satu laporan akhbar hari ini Abdullah dilaporkan sebagai berkata, kecekapan kerajaan Malaysia semakin meningkat dan kini diletakkan sebagai yang keenam terbaik di dunia.
Perdana Menteri yang memetik laporan World Competitiveness Year Book yang dikeluarkan oleh IMD, sebuah institusi pengajian perniagaan terkemuka berpejabat di Switzerland, berkata, dari segi kecekapan Malaysia yang tergolong dalam kategori negara mempunyai lebih 20 juta penduduk mengatasi United Kingdom, Jerman, Thailand, Sepanyol, Jepun, Rusia dan Perancis.
"Di atas kita ialah China, Kanada, Amerika Syarikat, India dan Taiwan.
"Bukan kita hendak bohong rakyat kerana kalau bohong, tidak lamalah kerajaan yang sedia ada ini lingkup. Jadi, tak usah fikir pasal gagal... kita tiada pilihan melainkan berjaya, berjaya, berjaya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan