HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Januari 2008

Dato' Ishak Baharom meninggal dunia.
Harakahdaily.


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Bekas Mufti Selangor, Dato' Ishak Baharom meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh tengah hari ini selepas tidak sedarkan diri dan koma akibat masalah tekanan darah dan dimasukkan ke hospital pagi semalam.

Menurut seorang anggota keluarganya, jenazah Allahyarham kini dibawa ke rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang.

Katanya, jenazah berkemungkinan akan dibawa ke Masjid Lipat Kajang, Taman Sri Andalas untuk disolatkan jam 9.30 pagi esok.

Menurut beliau, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, selepas itu.

Menurut jirannya, Zaitun yang dihubungi Harakahdaily, Ishak sebelum itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, kemudian telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh setelah tidak sedarkan diri sewaktu dikejutkan bangun untuk menunaikan solat Subuh pagi semalam.

Sebelum ini, laporan menyebut, pihak doktor yang merawat Ishak telah meminta ahli keluarga beliau untuk membawanya pulang setelah beliau tidak dapat diselamatkan.

Berdasarkan sumber, ia adalah disebabkan saluran darahnya yang pecah mengakibatkan beliau koma serta tidak sedarkan diri.

Belasungkawa untuk Almarhum Dato' Ishak Baharom

Almarhum Dato' Ishak Baharom dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Ayahnya Haji Baharom bin Jabar, berasal dari Banjarmasin, Sumatra. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Allahyarham meninggalkan balu, Datin Khalijah Abdullah serta tiga orang anak.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 - 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.

Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik menjadi Mufti Negeri Selangor pada 1985 ialah sebagai Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38, Sabak Bernam.

Bagaimanapun pada 1997, ekoran fatwa yang dikeluarkannya yang menegaskan pertandingan ratu cantik adalah haram, beliau telah dipecat daripada jawatan mufti walaupun perkhidmatannya baru sahaja di sambung.

Selepas pemecatan tersebut, Almarhum meneruskan perjuangannya dengan turun ke padang sebagai penceramah dan pendakwah bebas.

Almarhum bergiat serius dalam PAS bermula pada 2003 setelah dilantik menjadi Ahli Majlis Syura Ulama' PAS sehingga 2007. - mns

Tiada ulasan: