Anwar dedah klip video Lingam bahagian tiga
Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan klip video bahagian ketiga membabitkan peguam kontroversi, Dato' VK Lingam setelah rakaman itu diperolehinya pada 25 Januari lalu.
"Pada hari ini saya menerbitkan segmen ketiga rakaman video peguam, Lingam yang diberikan kepada saya pada Jumaat lepas, 25 Januari.
"Klip ini memberikan bukti tambahan bahawa konspirasi yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Diraja melangkaui usaha melantik Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim ke Mahkamah Persekutuan.
Menurut Anwar, segmen lima minit ini secara langsung mengaitkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin Abdullah yang didakwa menerima rasuah dari Lingam dan Vincent Tan agar beliau tidak mengkritik kedua-dua individu tersebut secara terbuka.
"Dzaiddin merupakan Ketua Hakim Negara antara Disember 2000 hingga 2003. Di dalam video tersebut disebut VK Lingam menyatakan: "Dan kita telah memberikan beliau hadiah paling mahal. Jangan tanyalah apa bendanya. Saya telah beri kepadanya dan Vincent Tan telah berikan kepadanya."," kata Anwar dalam satu kenyataannya hari ini.
Meskipun pada awalnya penubuhan Suruhanjaya Diraja telah memberikan rakyat Malaysia harapan agar kewibawaan dan integriti kehakiman dapat dipulihkan, KeADILan belum yakin dengan prosiding dan keputusan prosedur yang dibuat para Pesuruhjaya setakat ini, kata Anwar.
Suruhanjaya Diraja mestilah dapat menjunjung ketelusan dan integriti agar tidak kelihatan merosakkan lagi imej sistem kehakiman negara, katanya.
"Saya dengan ini menyerahkan bukti terbaru ini kepada orang ramai dan menyatakan kesediaan bekerjasama sepenuhnya dengan prosiding Suruhanjaya selama ini.Video ini dapat dilihat di laman web saya www.anwaribrahimblog.com," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan