HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Januari 2008

Majlis Harga Negara hanya 'gimik' tetapi tiada kuasa.
Wan Nordin Wan Yaacob.


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Penubuhan Majlis Harga Negara (MHN) disifatkan hanya 'gimmik' politik menjelang pilihan raya umum, walhal majlsi itu tiada kuasa menyekat kenaikan harga barang, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, dakwaan itu berasas kerana MHN ditubuhkan tanpa sebarang akta penubuhan selain ia hanya gula-gula Barisan Nasional (BN) yang hanya meredakan kemarahan rakyat buat sementara.

Beliau berkata demikian semalam ketika mengulas isu penubuhan MHN yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ujarnya, MHN tidak boleh memastikan peniaga atau pemborong menurunkan harga barang kerana penubuhannya juga bukanlah dilakukan dengan terma undang-undang.

Pengerusi MHN sendiri katanya mengakui badan itu tiada kuasa untuk memastikan harga barang tidak dinaikkan oleh peniaga atau pemborong sesuka hati, katanya.

Bagi bekas Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS itu, kerajaan harus menubuhkan Suruhanjaya Harga yang lebih wibawa dan mempunyai terma undang-undang dalam operasinya.

Pada 22 Januari lalu, MHN ditubuhkan dan Kumpulan Pakar Majlis Harga Negara yang ditubuhkan itu dikatakan berperanan utama untuk mencari pendekatan menstabilkan harga barangan di pasaran, selain memastikan inflasi tidak meningkat sehingga menjejaskan kuasa beli rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Kamal Salleh berkata, pihaknya akan melihat secara mendalam struktur semasa pasaran tempatan sebelum mencadangkan satu pendekatan komprehensif kepada kerajaan.

Dalam satu laporan akhbar 23 Januari lalu beliau dilaporkan sebagai berkata, antara isu yang akan diutamakan adalah melihat semula peranan subsidi dalam mempengaruhi pasaran.

"Adanya subsidi, adanya barang kawalan, kos kita masih rendah berbanding dengan lain-lain. Ini yang akan menjejas struktur pasaran sebenar. Permintaan dan penawaran terjejas, pengagihan sumber akan tergendala dan kita tidak mendapat pertumbuhan maksimum untuk satu pasaran," katanya.

Tiada ulasan: