HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Januari 2008

Samy perlu hormat Pengerusi BN – Noraini.
Oleh AIZAWATI AHMAD.


KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu tidak sepatutnya membuat kenyataan mendahului Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pencalonannya pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, Samy Vellu perlu menghormati Pengerusi BN yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada beliau untuk membuat sebarang kenyataan.

Jelasnya, sebarang pendapat berkaitan siapa bertanding atau tidak hendaklah datang dari Pengerusi BN.

“Biarlah Pengerusi BN tentukan siapa yang bertanding atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Noraini mengulas kenyataan Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya bahawa beliau akan bertanding kerusi Parlimen Sungai Siput yang telah lapan penggal dipegangnya pada pilihan raya umum akan datang.

Samy Vellu menegaskan, beliau tidak pernah berasa penat untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan berhenti menerajui parti MIC demi pembangunan dan kemajuan kaum India di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob pula berkata, tindakan Samy Vellu itu seolah-olah tidak menghormati keputusan Perdana Menteri sebagai pemimpin parti bagi menentukan siapa yang layak bertanding.

‘‘Kenyataan seumpama itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Datuk Seri Samy, walaupun beliau menyimpan hasrat untuk mempertahankan kerusinya.

‘‘Hak untuk membuat keputusan adalah terletak di tangan presiden parti dan beliau tidak sepatutnya mendahului pemimpin,’’ katanya.

Tambah Khairuddin, Samy Vellu seolah-olah menyamakan dirinya sebagai Pengerusi BN yang menentukan dirinya bertanding atau tidak.

“Ini membayangkan bahawa beliau (Samy Vellu) tidak bersedia digugurkan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, adalah lebih baik persoalan sama ada Samy Vellu akan terus bertanding, diserah kepada Perdana Menteri.

‘‘Terpulang kepada Perdana Menteri untuk putuskan tentang kedudukan beliau (Samy) sama ada akan bertanding atau sebaliknya pada pilihan raya umum kelak.

“Jika Samy ingin bertanding... terpulang kepada beliau,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di sini, hari ini.

Samy Vellu, 71, merupakan Presiden MIC paling lama menjawat jawatan itu iaitu sejak tahun 1981.

Beliau pertama kali bertanding di Parlimen Sungai Siput pada tahun 1974. Pada pilihan raya umum 2004, beliau mendapat undi majoriti 10,235 menewaskan calon DAP, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj.

Tiada ulasan: