HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2008

Stok penimbal, kenapa tunggu PAS bagi idea?.
Shirzad Lifeboat.


Mengapakah baru sekarang kerajaan Umno-BN terkial-kial mahu mewujudkan stok penimbal barangan keperluan utama? Itupun setelah Lajnah Pengguna PAS Pusat menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Patutnya dari dulu lagi kerajaan Umno-BN sudah wujudkan stok penimbal komoditi utama ini. Tak payahlah buat pengumuman menjelang pilihan raya umum dan bila keadaan telah begitu terdesak. Kalau Umno-BN mahu wujudkan stok penimbal ini, dari dulu lagi dah buat. Bukan sekarang baru terkial-terkial.

Cerita stok penimbal bukan cerita baru. China telah menggunakan kaedah stok penimbal ini sejak zaman Dinasti Song lagi (970-1279M). Ia bukannya satu teori ekonomi berbelit-belit. Konsepnya, beli dan simpan komoditi untuk menstabilkan ekonomi. Maknanya barangan yang simpan digunakan sebagai penimbal kepada turun naik harga (price volatility) barangan.

Malah ia juga konsep dalam Islam seperti yang digambarkan oleh kisah Nabi Yusof a.s. Berucaplah Nabi Yusuf menguraikan takbirnya bagi mimpi Raja:

" Negara akan menghadapi masa makmur, subur selama tujuh tahun, di mana tumbuh-tumbuhan dan semua tanaman gandum, padi dan sayur mayur akan mengalami masa menuai yang baik yang membawa hasil makanan berlimpah-ruah, kemudian menyusuk musim kemarau selama tujuh tahun berikutnya di mana Sungai Nil tidak memberi air yang cukup bagi ladang-ladang yang kering, tumbuh-tumbuhan dan tanaman rusak dimakan hama sedang persediaan bahan makanan, hasil tuaian tahun-tahun subur itu sudah habis dimakan.
Akan tetapi, Nabi Yusuf melanjutkan keterangannya, setelah mengalami kedua musim tujuh tahun itu akan tibalah tahun basah di mana hujan akan turun dengan lebatnya menyirami tanah-tanah yang kering dan kembali menghijau menghasilkan bahan makanan dan buah-buahan yang lazat yang dpt diperah untuk diminum."

"Maka jika takbirku ini menjadi kenyataan," Nabi Yusuf berkata lebih lanjut," seharusnya kamu menyimpan baik-baik apa yang telah dihasilkan dalam tahun-tahun subur, serta berjimat dalam pemakaiannya untuk persiapan menghadapi masa kering, agar supaya terhindarlah rakyat dari bencana kelaparan dan kesengsaraan."

Maknanya idea stok penimbal ini bukanlah idea baru. Kalau pemimpin Umno-BN tak baca al-Quran sekalipun dan kalau para ulama Umno-BN atau ulama yang bekerja dengan Umno-BN hanya membaca surah berkaitan Nabi Yusof ini sebagai khabariah sahaja dan setakat seronok membaca ceritanya tetapi gagal memahami insyaiyyah di sebaliknya kisah yang diceritakan dalam a-Quran itu, pengetahuan sekular tentang stok penimbal ini juga boleh digunakan untuk mengawal harga barangan.

Itulah pentingnya kita belajar dari orang lain kalau kita sendiri tak tahu. Soal ekonomi negara bukan sekadar soal bagi yuran sekolah percuma atau wujudkan macam-macam jenis projek dari buat parit sekolah agama kerajaan sehinggalah buat projek mega; kepada kontraktor Melayu Kelas E yang terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan projek dengan untung yang kadang kala tak sebanyak mana sehinggalah kepada kontrak kelas Super A yang hanya perlu berunding dengan orang tertentu dalam Umno-BN dan menerima pendahuluan puluhan juta ringgit walaupun kerja belum lagi dimulakan.

Berbalik kepada soal stok penimbal, kalau Umno-BN memang pandai dan sempurna sebagaimana yang didakwa, mengapa tidak wujudkan stok penimbal ini awal-awal lagi. Sejak dari dulu lagi tak adakah pemimpin Umno-BN sedar atau mengetahui atau dapat mengaplikasikan apa yang telah dipelajari di universiti.

Bukankah di zaman moden ini idea stok penimbal ini menjadi realiti yang dipraktikkan selepas Amerika Syarikat dan seluruh dunia mengalami Zaman Kemelesetan Ekonomi (the Great Depression) bermula pada tahun 1929.

Ekoran dari gejala tersebut, seorang penganalisis sekuriti Wall Street, Benjamin Graham telah menerbitkan bukunya berjudul Storage And Stability. Bermula dari sinilah kerajaan AS dan kerajaan negara-negara Eropah mewujudkan stok penimbal masing-masing bagi mengawal harga komoditi.

Antara komoditi yang turut disimpan bagi meregulasasikan harga ialah bijih timah dan getah asli. Sekiranya kita lebih bijak pada ketika itu, kita yang sepatutnya mewujudkan stok penimbal bijih timah dan getah asli dan menentukan harga komoditi ini dipasaran antrabangsa.

Ketika itu ia lebih mudah kerana getah tiruan belum lagi dimajukan sepenuhnya dan getah pula adalah komoditi strategik. Begitu juga dengan bijih timah. Tetapi ini tidak berlaku kerana kerajaan Umno-Perikatan ketika itu lebih seronok menjual dari dan membiarkan getah dan timah yang akhirnya menjadi barangan pasaran pembeli (buyers' market) berbanding dengan barangan pasangan penjual (sellers' market).

Hari ini amalan Umno-BN yang sering tidak mengambil endah keadaan sebenar pengguna, dan amalan bertindak secara spontan terhadap isu harga barangan dan terhadap permintaan dan bekalannya , amalan bertindak dan menubuhkan sesuatu secara ad hoc (termasuk penubuhan stok penimbal barangan keperluan utama dan Majlis Harga Negara) akhirnya menyusah dan membebankan rakyat.

Andai kata Umno-BN yang memerintah sejak merdeka lagi sedar akan peri pentingnya stok penimbal ini seperti yang digambarkan oleh Quran dan diamalkan oleh orang lain bagi kepentingan mereka, keadaan kenaikan barang dan penyimpanan stok barangan oleh pembekal dan pengeluar bagi menentukan harga sudah tentu dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Sejauh ini pendekatan Umno-BN dalam hal ini adalah pendekatan klasik mereka iaitu menggubal undang-undang. Namun mereka terlupa, mekanisme harga barangan utama dan mekanisme permintaan dan bekalan barangan bukan ditentukan oleh undang-undang.

Justeru kenyataan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omas bahawa penubuhan Majlis Harga Negara hanyalah 'gimik' politik menjelang pilihan raya umum, walhal ia tiada kuasa menyekat kenaikan harga barang adalah tepat dan relevan (rujuk Wan Nordin Wan Yaacob,"Majlis Harga Negara hanya gimik tiada kuasa,") - Harakahdaily 25 Jan, 2008.

Tiada ulasan: