HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Januari 2008

Doktor 'pil khayal' merata-rata.
Oleh SUHANA YUSOP.



KUALA LUMPUR - Penjualan pil khayal rupa-rupanya bukan sahaja melibatkan sebuah klinik di Langkawi tetapi ia juga berleluasa di Lembah Klang.

Malah ia boleh diperoleh di beberapa klinik di pinggir ibu kota dan ia jauh lebih mudah dan murah.

Percaya atau tidak dengan hanya menjerit dari luar premis - bagaikan hendak membeli gula di kedai runcit, seseorang itu boleh meminta berapa banyak biji pil khayal jenis dormicum.

Tanpa banyak soal, kehendak pelanggan yang rata-ratanya penagih dadah akan dipenuhi oleh pembantu doktor di klinik tersebut.

Tiada rekod pelanggan diperlukan malah seseorang itu dibenarkan membeli seberapa banyak pil asal ia tidak melebihi 20 biji setiap orang.

Pil dormicum dijual dengan harga RM7 dan RM8 sebiji bagi urus niaga yang bermula pukul 12 tengah malam dan sebarang urus niaga dilakukan secara terang-terangan di hadapan pintu pagar klinik tersebut tanpa berjumpa doktor terlebih dahulu.

Lebih mengejutkan, klinik yang beroperasi selama 24 jam di Kuala Lumpur itu telah hampir 10 tahun beroperasi dengan membekalkan pil tersebut kepada penagih tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuasa.

Difahamkan, ia menjadi sumber utama kepada hampir 100 penagih bagi mendapatkan bekalan setiap hari dan dipercayai hanya beroperasi dengan penjualan pil khayal semata-mata.

Tinjauan KOSMO! semalam mendapati, beberapa penagih asyik berkeliaran di hadapan klinik tersebut dan sesekali terdengar mereka menjerit meminta bekalan pil.

Setelah itu, seorang perempuan datang ke tepi pagar klinik dengan membawa pil yang dimahukan sambil penagih menyerahkan wang kepadanya.

Sementara itu, seorang sumber yang hanya ingin dikenali sebagai Azwan memberitahu, klinik itu sememangnya telah lama membekalkan pil tersebut kepada penagih di sekitar ibu negara.

"Doktor itu jual murah sebab itu ramai yang datang beli dan kalau dia tak buka klinik, masih banyak penagih datang.

"Setiap hari pasti ada penagih yang beli pil tersebut dan ini salah satu 'lubuk' berharga buat mereka," katanya yang ditemui KOSMO! semalam.

Beliau yang turut menyamar sebagai pelanggan membeli pil khayal itu turut menjelaskan bahawa sebiji pil itu boleh membuatkan seseorang khayal selama tiga hingga empat jam.

Sementara itu, Koordinator Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Nordin ketika dihubungi menggesa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas ke atas doktor terbabit.

"Gantung tugas dan jangan benarkan mereka membuka klinik lagi serta tarik lesen kerana menjual pil khayal kepada penagih," ujarnya yang turut memberitahu PPIM turut telah menjalankan siasatan sendiri mengenai kegiatan haram itu.

Tiada ulasan: