HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2008

Ops Sikap 16 dari 31 Jan hingga 14 Feb.



PUTRAJAYA: Ops Sikap 16, sempena musim Tahun Baru Cina akan dilaksanakan melalui Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya bermula 31 Jan hingga 14 Feb.

Penguatkuasaan kempen itu meliputi pengurangan had laju sebanyak 10km/sejam bagi jalan persekutuan dan jalan negeri menjadikan had laju maksimum jalan-jalan berkenaan 80km/sejam berbanding 90km/sejam sekarang.

"Pewartaan dan hebahan media untuk pengurangan had laju akan dilakukan oleh Kementerian Kerja Raya manakala usaha penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy.

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan akan menggerakkan seramai 1,318 orang dan PDRM seramai 5,244 anggota semasa musim perayaan itu.

PDRM akan melakukan pemantauan trafik di 19 buah menara kawalan, pasukan perondanya akan membantu mengawal keadaan di tempat kemalangan manakala JPJ membuat pemeriksaan terhadap bas ekspres, bas persiaran dan pemandu terutama di 36 buah terminal di seluruh negara.

Anggota JPJ akan menyamar sebagai penumpang bas ekspres yang dipilih secara rambang untuk memastikan pemandu bas mengikut peraturan yang ditetapkan, katanya.

Chan berkata kompaun RM300 tanpa rayuan akan dikenakan terhadap pemandu kenderaan persendirian bagi kesalahan serius dan penguatkuasaan akan turut memberi fokus kepada penunggang dan pembonceng motosikal yang melanggar peraturan.

Kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan jalan raya pada 5, 6 Feb dan 9, 10 Feb.
Namun demikian lori pembancuh simen, kren bergerak dan lori tipper dibenarkan beroperasi daripada 6 pagi hingga 6 petang di sekitar kawasan Lembah Klang, kawasan bandaraya Johor Baharu, George Town dan Ipoh.

Selain itu, agensi kerajaan dan badan sukarela seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam 3, Pasukan St John Ambulans, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Peronda Lebuhraya Plus dan MTD akan bertindak sebagai pasukan bertindak kecemasan 24 jam di 15 lokasi sepanjang lebuhraya bagi memberikan bantuan sekiranya berlaku kemalangan. BERNAMA

Tiada ulasan: