Suruhanjaya video Lingam dituduh hina Yang di-Pertuan Agong
Abdul Halim Mohd Rashid.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Tingkah laku suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam dituduh semakin mencurigakan malah mencemarkan nama baik dan maruah Yang di-Pertuan Agong, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
"Di sana-sini rakyat melahirkan rasa marah terhadap tingkah-laku suruhanjaya itu malah ramai yang menuduh suruhanjaya itu menghina dan memalukan Yang di-Pertuan Agong," kata beliau yang menemui pelbagai lapisan masyarakat dalam ceramah-ceramahnya di seluruh negara.
Bukan setakat itu sahaja, katanya, malah sudah ada di kalangan rakyat yang ditemuinya yang mempersoalkan adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi merujuk kepada Dato' VK Lingam terlebih dahulu sebelum mencadangkan anggota suruhanjaya itu sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong?
"Ada juga yang bertanya kepada saya, adakah selepas siasatan suruhanjaya itu, Lingam akan membawa anggota-anggota suruhanjaya itu untuk melancong ke New Zealand pula?" kata beliau.
Oleh kerana kemarahan dan persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat semakin berat dan penuh dengan tuduhan yang berpunca dari rasa tidak percaya mereka, katanya lagi, beliau memohon kepada Majlis Raja-Raja Melayu supaya bersidang.
"Saya memohon Majlis Raja-Raja Melayu bersidang untuk menghentikan tingkah laku suruhanjaya itu yang dituduh menghina dan memalukan Yang di-Pertuan Agong," kata Mahfuz.
Beliau juga memohon Majlis Raja-Raja Melayu mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memerintahkan Perdana Menteri membubarkan suruhanjaya yang dipertikaikan itu dan menubuhkan suruhanjaya yang baru yang diangotai oleh mereka yang direstui sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Majlis Raja-Raja Melayu.
"Kita tidak mahu lagi mendengar rakyat menuduh siasatan suruhanjaya itu adalah satu lagi sarkas yang memalukan negara," tegas Mahfuz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan