Tangani masalah, bukan menekan 'Suara Rakyat'.
Azamin Amin.
KUALA LUMPUR (Hrkh)- Rakyat tiada pilihan selain mengadakan perhimpunan aman kerana kerajaan sehingga kini telah gagal atau enggan bertindak menangani masalah yang dihadapi negara khususnya melibatkan kenaikan harga barang dan inflasi.
Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perhimpunan aman adalah saluran sah yang dijamin Perlembagaan Negara untuk menzahirkan masalah dan kemarahan rakyat terhadap tekanan hidup yang semakin meningkat
"Kita mengecam tindakan keras polis menahan para peserta perhimpunan aman rakyat membantah kenaikan harga barang pada 26 Januari lalu.
"Kerajaan tidak seharusnya menekan suara rakyat kerana itu sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah," katanya dalam satu kenyataannya mengulas kejadian tindakan kerajaan menahan peserta Protes.
Sebaliknya kata Khalid kerajaan, khususnya Perdana Menteri, mesti membentangkan kepada rakyat langkah-langkah yang akan diambil dengan segera untuk meringankan beban hidup akibat kenaikan kos dan persediaan untuk menghadapi kemelesetan ekonomi yang akan berlaku tidak lama lagi berikutan masalah ekonomi Amerika Syarikat.
Katanya kerajaan perlu berjimat cermat bagi mengurangkan kos operasi atau belanja mengurus.
"Sebagai permulaan, Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet perlu menawarkan pengurangan gaji.
"Malah semua projek-projek tidak perlu dan tidak kritikal perlu ditangguhkan. Penjimatan ini perlu disalurkan kepada rakyat untuk mengekang kenaikan kos barangan perlu," katanya dalam kenyataan tersebut.
Katanya, hutang negara sekarang sudah terlalu tinggi dan meningkatkan perbelanjaan akan hanya lebih membebankan generasi akan datang untuk membayar hutang yang terus-terusan meningkat.
"Situasi 1997 adalah berbeza dengan sekarang kerana simpanan negara adalah tinggi ketika itu hasil daripada 'Belanjawan Berhemah' yang diamalkan untuk beberapa tahun sebelum itu.
"Abdullah mesti mempunyai keberanian dan bertanggungjawab dengan menangani masalah yang dihadapi sekarang hari ini dan tidak meninggalkannya untuk ditanggung oleh generasi akan datang.
Katanya, Malaysia mampu menghadapi masa-masa sukar asalkan semua pihak sama-sama berganding bahu berusaha menghadapinya dan kerajaan menyediakan kepemimpinan yang terbaik.
"Namun melihat kepada cara kerajaan menangani suara rakyat dengan menindas dan menekan ini ternyata mereka tidak mampu dan terlalu lemah untuk memimpin," katanya. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan