HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2008

Apa Yang Pemimpin Umno Boleh Lakukan Terhadap Samy Vellu?
Petikan daripada Blog Merah Tinta MSO - Laman M@RHAEN




Presiden MIC Samy Vellu tidak perlu gusar dengan kedudukannya hari ini yang berhasrat untuk terus mempertahankan kerusi parlimen Sungai Siput. Kita percaya beliau akan diberi laluan untuk terus bertanding di Sungai Siput untuk penggal yang ke sembilan. Sudah lapan penggal Samy Vellu bertapak di situ.

Walaupun ada suara bantahan daripada sesetengah bangsa Umno terhadap Samy Vellu namun ia tidak akan membawa apa-apa makna. Rasa kurang senang kepada Presiden MIC itu tidak akan membawa apa-apa makna kepada dirinya. Samy yang dikenali mempunyai politik anjal dan berliku tahu dan arif bagaimana hendak melepaskan dirinya.

Acap kali Samy Vellu sudah terbalut dalam pukat atau jala politik ekoran tindak tanduk dan keceluparan mulutnya sehingga hampir satu ketika hampir melemaskan dirinya. Tapi akhirnya dia terlepas juga daripada balutan berkenaan.

Memberi masalah

Mengapa saya merasakan Samy Vellu akan tetap memperolehi apa yang dikehendaki, ialah kerana kebijaksaan dan putar belit politiknya yang pandai. Beliau memang memberi masalah kepada satu pihak dan ada tindakan yang meloyakan. Namun dari sudut lain sikap dan tindak tanduknya itu memberi keuntungan kepada pihak lain atau MIC sendiri.

Menjelang pilihan raya akan datang ini Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad telah memberi mesej terbuka mengenai Samy Vellu. Nasihat Noraini agar Samy Vellu jangan bercakap mendahului Presiden membawa makna mengenai sikap dan karektor sebenar Samy Vellu. Bahawa Menteri Kerja Raya (JKR) itu tidak kira siapa beliau akan rempuh asalkan membawa keuntungan kepadanya.

Menganalisa maksud Noraini beliau mahukan Samy Vellu ditolak dalam pilihan raya ini. Mungkin Ketua Puteri itu berbulu melihat bagaimana Samy Vellu terus-terusan menguasai kementerian utama yang ditugaskan membangun negara iaitu Kementerian Kerja Raya.

Bagaimana pun saya berpendapat apa yang disuarakan Noraini tidak akan membawa apa-apa makna. Samy tetap tidak akan bergajak juga. Seruan dan mesej Noraini itu akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri bangsa Umno Sungai Siput begitu saja.

Mengenang beberapa kesilapan dan perangai ego Samy Vellu, wajar dan tepat sangat kalau beliau dikalahkan dalam pilihan raya akan datang. Hanya itu saja cara untuk tidak melihat muka Samy Vellu dalam Kabinet. Kerana selagi beliau menang di Sungai Siput selama itulah dia akan menjadi menteri JKR.

JKR semacam sudah ditander kepada Samy Vellu untuk berapa lama yang beliau suka.

Pernah kementerian itu ditukar kepada Leo Moggie satu masa dulu namun selepas itu dikembalikan semua kepada Samy Vellu. Dengan kelicikannya Mahathir Mohamad yang menjadi PM ketika itu mengalah dengan Samy Vellu.

Dalam hal ini saya tidak nampak bangsa Umno akan bersatu untuk menjatuhkan Samy Vellu pada bila-bila masa termasuk dalam pilihan raya akan datang. Pemikiran dan politik bangsa Umno harganya tidak seberapa dan mudah dibeli. Lihat sahaja apa komen dan ulasan ahli jawatankuasa Pemuda Umno Sungai Siput Abdul Halil Zainal Abidin yang menyifatkan kepimpinan Samy Vellu tidak ada tolok banding.

Mencium tangan

Kalau pengundi muda berbangsa Umno boleh menyifatkan demikian apa diharap kepada pengundi emas berbangsa Umno. Mereka tentu lebih fanatik kepada Samy Vellu. Kalau pun tidak sampai mencium tangan mungkin sanggup meletakkan tangan ke dada setiap kali berjumpa Samy Vellu.

Kenyataan Abdul Halil itu menggambarkan sikap da pemikiran bangsa Umno di Sungai Siput. Betapa mereka taksub dan mesranya dengan Samy Vellu. Tidak mustahil agaknya yang menjadi benteng kepada Samy Vellu di Sungai Siput selama ini bukan orang India tetapi bangsa Umno. Yang pastinya Abdul Halil itu adalah anak kepada bangsa lama Umno di Sungai Siput yang sudah sebati dan seiman politik dengan Samy Vellu.

Kesimpulannya datanglah pilihan raya berapa puluh kali lagi Samy Vellu tetap akan menang di Sungai Siput. Selagi ada bangsa Umno di situ beliau akan selamat. Hatta kalau Samy Vellu sudah mati pun kalau batu nisannya diletak sebagai mewakilinya, parti Samy Vellu akan menang.

Apakah kata kalau bangsa Umno di Sungai Siput daftar menjadi ahli parti MIC? Rasanya itu lebih relevan dan afdal daripada menjadi ahli Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu (PMKB) tetapi undinya diberikan kepada calon India.

Tiada ulasan: