Gadis Balik Pulau dilarikan lelaki asing ditemui di Sulawesi.
Oleh: NURUL HUDA HASSAN.
BALIK PULAU – Seorang bapa berjaya menemui dan membawa pulang anak gadisnya berusia 13 tahun yang dilarikan serta disorok di Pulau Lamaraya dekat Sulawesi, Indonesia sejak sebulan lalu.
Siadin Rashid, 45, bersama abangnya, Jalil, 50, telah bergegas pergi ke republik itu apabila mendapat maklumat bahawa anak gadisnya itu telah diselamatkan oleh pihak berkuasa Indonesia.
Dia memberitahu, pada 16 Disember tahun lalu, anaknya, Maslina dilaporkan hilang antara pukul 6.30 petang hingga 7.30 malam dan dipercayai dilarikan seorang lelaki warga Indonesia yang dikenalinya.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Daerah Barat Daya di sini pada hari yang sama.
Siadin berkata, Maslina dibawa suspek ke kampungnya di Desa Lamaraya di Wilayah Wamasangka, Buton di Sulawesi dengan menyeludupnya melalui jalan laut.
“Di sana, anak saya tinggal bersama suspek di rumah berkenaan sehingga polis Indonesia menemuinya dan menahan lelaki terbabit di Balai Polis Daerah Sulawesi Tenggara pada minggu lalu,” kata Siadin ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pondok Upeh di sini hari ini.
Katanya, dia mendapat maklumat bahawa Maslina berada di wilayah itu daripada dua lelaki yang datang menemuinya dan memaklumkan bahawa anaknya itu telah dilarikan oleh seorang lelaki yang pernah bekerja sebagai buruh di kawasan berhampiran rumahnya.
Dia berkata, dengan bantuan polis dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya, mereka ditemukan dengan pihak Kedutaan Indonesia di Pulau Pinang untuk berbincang mengenai maklumat yang dimaklumkan itu.
Ekoran itu, katanya, pihak berkuasa di Indonesia telah melancarkan gerakan mengesan Maslina, sehingga gadis itu ditemui di rumah suspek di Pulau Lamaraya minggu lalu.
“Anak saya masuk ke negara itu tanpa sebarang dokumen sah dan dilarikan dari Pulau Pinang ke Johor sebelum dibawa menaiki bot ke Tanjong Pinang dan sampai ke kepulauan itu selepas seminggu,” katanya.
Menurut Siadin, yang bekerja sebagai pekebun sayur di sini, dia menemui Maslina di sebuah balai polis dan anaknya itu, yang dalam kebingungan, terus menerpa serta memeluknya sambil menangis.
Katanya, selepas disoal siasat dan urusan dokumen diselesaikan, beliau dibenarkan membawa Maslina pulang ke negara ini dan mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas kira-kira pukul 11 malam Selasa lalu.
Sementara itu, Maslina yang berada di sisi bapa dan ibunya, Salmiah Hussin, 43, kelihatan masih ‘kebingungan’ dan enggan bercakap dengan wakil-wakil media yang menemuinya.
Menurut Siadin, Maslina yang akan memulakan persekolahan sebagai pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Seri Balik Pulau Isnin ini, akan menangis jika ditanya mengenai kehilangannya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur Maslina ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan