HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Januari 2008

Sejak bila tv kita begitu pentingkan moral?.
Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN.



KETIKA para moralis kita tiba-tiba sibuk bercakap tentang moral penyanyi Faizal Tahir yang membuka baju semasa menyanyi, saya teringat kembali isu Sofea Jane berkemban dalam filem Perempuan, Isteri dan Jalang (1993). Dalam filem arahan U-Wei Haji Saari itu, Sofea berkemban ketika mandi di sungai.

Di luar panggung, banyak yang menjadi ahli moral menganggap filem itu menghina wanita. Salah satunya menonjolkan wanita dalam keadaan berkemban. Tetapi dalam majlis-majlis hiburan sama ada disiarkan di televisyen atau tidak, banyak juga wanita yang berkemban. Cuma mereka tidak berkemban dengan kain batik tetapi dipergayakan secara lebih moden. Ini tidak menjadi isu. Kenapa?.

Saya percaya semua ini kerana sesetengah daripada kita tidak melihat secara luas dan menyeluruh. Mereka melihat sesuatu isu pada sesuatu masa saja. Sofea tidak boleh berkemban dengan kain batik tetapi kalau diperbuat daripada kain yang lebih mahal barangkali tidak menjadi isu. Maka mereka ini bukan prihatin fasal moral.

Apa isunya Faizal Tahir menyanyi dengan tidak berbaju? Secara jujur apakah yang para moralis kita bangkitkan? Memang banyak baiknya kita prihatin bab-bab moral seperti ini tetapi jangan memilih sesuatu isu saja. Malah memang tidak elok menyanyi tanpa memakai baju.

Tetapi sejak bila stesen televisyen kita tidak boleh menyiarkan lelaki yang tidak berbaju? Sejak bila persembahan pentas kita melarang lelaki tidak berbaju atau hanya bercawat membuat persembahan? Stesen televisyen kita selalu menyiarkan sukan bina badan dan kita tidak pernah melihat lagi peserta sukan bina badan pakai baju.

Kita juga selalu melihat persembahan kesenian tradisi yang menampilkan penari lelaki hanya bercawat. Penari tarian klasik India juga tidak berbaju. Apabila kita semua senyap sebelum ini bermakna kita telah menerima ini sebagai biasa.

Adakah sekiranya Faizal diletakkan di pentas bina badan, dia mesti memakai baju? Kalau kita menerima Faizal tidak berbaju dalam sukan bina badan, isunya bukanlah tidak berbaju.

Isunya ialah persepsi. Kita tidak boleh menjadikan persepsi yang selalu berubah-ubah itu sebagai peraturan segera. Ini bukan tidak adil malah memperlihatkan pengendali dasar tidak ada pendirian yang boleh dihormati. Kita sendiri tidak pasti apakah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mempunyai satu peraturan yang jelas mengenai ‘lelaki tidak berbaju’ dalam program televisyen?

Jangan mengukur isu daripada kontroversi. Apabila tercetus kontroversi maka isu itu dilihat berasingan daripada perlakuan lain yang tidak menjadi bahan kontroversi.

Maka arahan yang dikeluarkan bolehlah dianggap seperti mi segera yang tiba-tiba saja dibuat sebagai reaksi kepada kontroversi. Kalau kita mengakui Faizal tidak berbaju sama seperti peserta bina badan atau penari yang hanya bercawat, tentu kita tidak melayan kontroversi ini.

Tiada ulasan: